CHONGQING: Sebuah restoran periuk panas terbesar dunia di kawasan lereng bukit di Chongqing yang mampu memuatkan sekitar 5,800 pelanggan dalam satu masa, menggamit ramai pelancong ke bandar itu.
Chongqing sememangnya terkenal dengan hidangan periuk panasnya tetapi Pipa Yuan, sebuah kedai makan gergasi berteres menempatkan ratusan buah meja yang disusun mengelilingi sebuah bukit besar merupakan tarikan yang paling popular.
Terletak di daerah Nan’an di pinggir Chongqing, restoran yang meliputi kawasan seluas 3,300 meter persegi itu memerlukan kebanyakan pengunjung mendapatkan arahan laluan untuk mencari lokasi tempahan mereka di antara 900 meja yang tersedia.
Pipa Yuan sudah lama mendapat perhatian sebagai restoran periuk panas terbesar di dunia, namun hanya mendapat gelaran rasmi daripada Rekod Dunia Guinness tahun lalu.
“Kerana saiz Pipa Yuan sangat besar dan terletak di lereng bukit yang curam, pengunjung perlu mengambil masa sehingga 30 minit dari tempat letak kereta di bahagian bawah bukit untuk mendaki ke salah satu meja yang tersedia di restoran itu.
“Namun, realiti itu tidak sedikit pun menjejaskan populariti reastoran ini. Malah walaupun dengan kapasiti besar, mendapatkan tempat duduk tanpa membuat tempahan terutamanya semasa musim bunga dan musim panas adalah hampir mustahil,” jelas laporan itu.
Restoran berkenaan dilaporkan menggaji ratusan pelayan, puluhan tukang masak dan berpuluh-puluh kakitangan dapur serta lebih 25 juruwang.
Pipa Yuan juga lebih sibuk pada waktu malam kerana ramai pelancong datang untuk menikmati keindahan lampu berwarna-warni yang menghidupkan seluruh lereng bukit berkenaan.
“Masa penyajian mungkin agak lama, terutamanya pada waktu paling sibuk pada hari itu, tetapi bahan-bahan segar, rempah-rempah yang lembut dan pemandangan indah dari bukit membuatkan pelanggan tidak kisah menunggu,” ulas seorang pelanggan.