JAKARTA: Ketua Umum Parti PDI Perjuangan (PDIP), Megawati Soekarnoputri mendedahkan sekurang-kurangnya 10 tokoh politik ‘sedang mengintai peluang’ untuk menjadi calon naib presiden untuk bergandingan dengan Ganjar Pranowo dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan enggan terburu-buru memilih calon naib presiden untuk Ganjar.
Katanya, pemilihan harus dibuat dengan teliti dan matang bagi memastikan gandingan tersebut mampu meraih undi rakyat, sekali gus memenangi Pilpres 2024.
“Saya menerima banyak senarai nama untuk menjadi calon naib presiden, sekurang-kurangnya 10 nama.
“Saya tidak mahu terburu-buru membuat pilihan siapa yang akan bertanding bersama Ganjar. Sabar ya, nanti kita (PDIP) akan umumkan siapa calon naib presiden,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Namun, Megawati tidak mendedahkan 10 nama tersebut.
Beliau turut memberitahu, jumlah itu mungkin bertambah dari semasa ke semasa memandangkan masih ada tokoh politik yang merancang untuk menghantar nama mereka bagi menjadi calon naib presiden.
Terdahulu, Ganjar mendedahkan kriteria calon naib presiden yang diingininya, iaitu ‘mirip’ dengannya.
“Saya mengimpikan calon naib presiden yang mempunyai pemikiran, pandangan dan idea yang sama dengan saya supaya kami boleh membangunkan Indonesia bersama-sama,” ujarnya.