Pilihan raya Turkiye: Erdogan kekalkan kuasa?

Pilihan raya Turkiye: Erdogan kekalkan kuasa?

PENDUDUK mula mengundi di sebuah pusat pengundian di Adana semasa pusingan kedua pilihan raya presiden Turkiye. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Penduduk Turkiye mula menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih ketua negaranya selepas calon bertanding merebut jawatan presiden gagal memperoleh 50 peratus undi dalam pilihan raya diadakan minggu lalu.

Pilihan raya penentu kali ini dikatakan bakal menyaksikan Recep Tayyip Erdogan berjaya mengekalkan tampuk pemerintahannya sekali gus kembali menerajui pentadbiran sebagai presiden selepas dua dekad dipilih ke jawatan itu sejak 2008.  

Pemilihan Erdogan sebagai pemimpin tertinggi juga bakal memperhebatkan hala tuju Turkiye yang semakin autoritarian serta dasar luar dan tadbir urus ekonomi negara itu.

Erdogan, 69, menentang keputusan tinjauan pendapat dan tampil selesa dengan mendahului pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu hampir lima mata dalam pusingan pertama pilihan raya presiden 14 Mei lalu.   

Dalam pilihan raya itu, Erdogan berjaya meraih sebanyak 49.52 peratus undi berbanding Kilicdaroglu yang memperoleh 44.9 peratus.

Bagaimanapun, Erdogan gagal memperoleh 50 peratus undi yang diperlukan untuk mengekalkan jawatannya.

Sinan Ogan selaku calon ketiga pula hanya mendapat 5.17 peratus undi.

Di sebalik penampilan kuat Erdogan di tengah-tengah krisis kos sara hidup yang semakin tinggi dan kemenangan gabungan Parti AK (AKP) dalam pilihan raya Parlimen, beberapa parti lain termasuk MHP menyokong kempen veteran itu dengan menegaskan undi untuk pemimpin itu mampu menjamin kestabilan negara.

Pilihan raya Presiden kali ini bukan sahaja menentukan pemimpin bakal mengetuai Turkiye yang mempunyai hampir 85 juta penduduk, malah cara negara itu akan ditadbir.

“Cara pengurusan itu termasuk arah tuju ekonomi selepas nilai mata wang negara menurun sehingga satu persepuluh berbanding dolar dalam tempoh sedekad serta bentuk dasar luar yang menyaksikan Turkiye meningkatkan kemarahan Barat dengan mengukuhkan hubungan dengan Russia dan negara Teluk,” jelas laporan Reuters.

Berdasarkan laporan Agensi Anadolu, lebih 60 juta pengundi berdaftar layak mengundi termasuk 4.9 juta pengundi kali pertama.

Jelas laporan itu, sebanyak 191,885 peti undi disediakan dalam pilihan raya penentu itu.

Kilicdaroglu, 74, merupakan ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP) yang ditubuhkan oleh pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk.

Kem Kilicdaroglu dikatakan bergelut untuk mendapatkan semula momentum selepas terkejut dengan kejayaan Erdogan mencapai pecahan mata peratusan untuk menang pada pusingan pertama.  

Terdahulu, beberapa pakar sejarah dan penganalisis mengakui terkejut dengan gelombang patriotik yang melanda Turkiye pada ulang tahun ke-100 penubuhan negara itu sebagai sebuah republik pasca Uthmaniyyah.

Pakar sejarah, Etienne Copeaux berpandangan politik Islam dibawa Erdogan tidak bertentangan dengan semangat nasionalisme negara itu sejak beliau menjadi Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1990-an.

Malah, Erdogan juga dilihat sentiasa berhati-hati ketika melakukan perubahan serta tidak menolak sepenuhnya warisan pengasas negara moden, Mustafa Kemal Ataturk. – REUTERS/AFP/AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya