JAKARTA: Bakal calon presiden daripada Gabungan Perubahan Perpaduan, Anies Baswedan meminta kerajaan tidak mempengaruhi orang ramai yang akan menggunakan hak mengundi pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) tahun depan.
Anies meminta agar negara membiarkan rakyat memilih sendiri siapa pemimpin yang mereka percayai.
Perkara itu disampaikan Anies dalam pidato politiknya pada acara sukarelawan Amanat Indonesia (ANIES) di Tennis Indoor Senayan, Jakarta Pusat kelmarin.
“Biarkan rakyat tanpa dipengaruhi negara, tanpa campur tangan negara, negara berkecuali dan percayakan rakyat bahawa rakyat amanahkan kuasa kepada mereka yang berniat baik dan mempunyai rekod baik,” kata Anies.
Anies menegaskan kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam undi rakyat kerana tindakan itu seakan sama seperti mengganggu rakyat.
Dalam pada itu, Anies berkata, setiap lima tahun proses pertukaran pemimpin, tidak bermakna kuasa berpindah atau hilang.
“Pada dasarnya kuasa berada di tangan rakyat sehingga yang dipindahkan hanyalah mandat untuk menjalankan kuasa rakyat.
“Jika seseorang bimbang kehilangan kuasa, maka dia tidak memahami prinsip asas demokrasi. Kerana kuasa tidak hilang, ia tidak berpindah. Ia milik anda semua, rakyat Indonesia,” tambah Anies.