Pemandu pengsan, pelajar 13 tahun kawal dan berhentikan bas

Pemandu pengsan, pelajar 13 tahun kawal dan berhentikan bas

TANGKAP layar rakaman kamera pengawasan menunjukkan Dillon Reeves membantu mengawal stereng ketika pemandu bas sekolahnya pengsan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Seorang pelajar berusia 13 tahun dari Massachusetts berjaya menyelamatkan nyawa puluhan rakan sekelasnya apabila bertindak pantas mengawal bas sekolah dinaiki mereka daripada terbabas ketika pemandunya tiba -tiba tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian Rabu lalu, pelajar gred tujuh, Dillon Reeves dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Carter di Warren, bersama 66 pelajar lain apabila pemandu bas itu tiba-tiba merasa pening dan pengsan.

Menurut Daily Mail, rakaman kamera pengawasan menunjukkan pemandu tersebut memberitahu di radionya bahawa dia berasa pening dan mahu menghentikan kenderaan itu namun rebah di atas stereng sebelum sempat berbuat demikian.

Selama beberapa saat bas itu bergerak sendiri dengan perlahan di atas jalan sehingga Reeves meluru ke hadapan dan segera mengawal stereng serta menekan pedal brek untuk menghentikan bas itu di kawasan tepi jalan di Masonic Boulevard.

Walaupun masih terkejut, Reeves dilihat terus meminta rakan-rakannya di dalam di dalam bas itu untuk menghubungi talian kecemasan 911.

Tiada yang cedera dalam insiden itu tetapi dalam rakaman berkenaan, pelajar boleh didengari menjerit ketakutan ketika Reeves menekan brek.

Pemandu bas tersebut dilaporkan dibawa ke hospital berhampiran dan kini masih menerima rawatan rapi.

Pegawai Sekolah Warren mengadakan sidang akhbar kelmarin memuji tindakan berani Reeves malah, remaja tersebut turut menerima penghargaan daripada penduduk setempat dan jabatan polis.

Ibu bapa Reeves mengakui merasa bangga dengan tindakan pantas anak sulung mereka yang diketahui sangat prihatin terhadap keadaan di sekelilingnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya