Muzik dangdut gamatkan makan malam pemimpin ASEAN

Muzik dangdut gamatkan makan malam pemimpin ASEAN

PERSEMBAHAN lagu dangdut mewarnai suasana majlis makan malam Jokowi bersama pemimpin negara ASEAN di Hotel Ayana, Labuan Bajo di Nusa Tenggara Timur.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANGGARAI BARAT: Muzik dangdut yang terkenal di Indonesia mewarnai suasana jamuan makan malam Presiden, Joko Widodo (Jokowi) bersama pemimpin negara ASEAN di Hotel Ayana, Labuan Bajo kelmarin.

Lapor Kompas.com, jamuan makan malam itu merupakan sebahagian daripada siri acara pada hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berlangsung sejak Selasa lalu.

Selepas pelbagai lagu didendangkan, semua penyanyi yang dijemput kemudian berkumpul dan menggamatkan pentas dengan persembahan istimewa lagu dangdut yang sudah dianggap sebagai budaya popular dan sinonim dengan Indonesia.

Ketika lagu masih berkumandang, Jokowi kemudian bangun menyambut pemimpin-pemimpin yang hadir ke majlis makan malam tersebut sambil memperkenalkan lokasi yang dipilih bagi sidang kemuncak tahun ini.

“Sekali lagi, selamat datang ke Labuan Bajo. Salah satu tempat indah di Indonesia. Tidak jauh dari sini adalah Pulau Komodo, habitat komodo,” kata Jokowi.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno mendedahkan, Labuan Bajo sengaja dipilih sebagai lokasi sidang kemuncak berkenaan tahun ini bagi mempromosikan antara kawasan pelancongan terkenal di negara itu.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin negara ASEAN dan pelancong yang hadir dari dalam dan luar negara juga diharap mampu memajukan ekonomi masyarakat setempat di kawasan itu.

“Bagi tahun ini, kerajaan menyasarkan 8.5 juta kunjungan pelancong asing ke Labuan Bajo.

“Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di sini juga diramal bakal meningkatkan sekitar 10 hingga 20 peratus ketibaan pelancong,” jelas Sandiaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN