Murid 9 tahun maut dibuli rakan sekolah

Murid 9 tahun maut dibuli rakan sekolah

JAKARTA: Seorang murid sekolah rendah di Sukabumi yang berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat dibuli beberapa rakan sekolahnya.

Datuk mangsa memberitahu, insiden itu terbongkar selepas cucunya dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan sakit dada.

“Kami sekeluarga tidak sangka cucu saya dibuli, dipukul oleh rakan-rakan sekolahnya dan mulanya kami menyangka dia ada penyakit kerana mengalami sesak nafas.

“Cucu saya juga mulanya tidak mengakui dia dibuli rakan-rakan dan selepas ditanya beberapa kali oleh doktor, dia akhirnya memberitahu dipukul oleh beberapa rakan sekolahnya.

“Cucu saya beritahu doktor ada empat rakan sekolah yang memukulnya, termasuk seorang murid darjah dua. Dia sebut semua nama rakan yang pukulnya,” katanya.

Jelas datuk mangsa, cucunya memaklumkan dia dipukul selama dua hari iaitu di belakang sekolah dan di tandas.

Lelaki warga emas itu juga menyatakan cucunya baru empat bulan berpindah ke sekolah berkenaan.

Pemeriksaan yang dilakukan pakar perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada, punggung, kepala dan rahang mulut.

Mangsa menerima rawatan selama empat hari di hospital sebelum mengalami muntah darah dan menghembuskan nafas terakhir.

Dalam pada itu, polis memaklumkan pihaknya sudah menyoal siasat enam saksi termasuk wakil dari sekolah mangsa bagi membantu siasatan.

Jurucakap polis Sukabumi, Yanto Sudiarto berkata, kes itu berlaku pada 15 dan 16 Mei di sekolah mangsa.

“Polis akan menyiasat kes ini berdasarkan keterangan beberapa saksi,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN