BRASILIA: Seorang lelaki di Brazil yang melakukan aktiviti ekstrem pendulum jump nyaris maut apabila tali yang diikat pada badannya terputus lalu menyebabkan dia terjatuh ke dalam kolam cetek.
Lapor Daily Mail, Rafael Tostas, 22, dilaporkan membuat terjunan berisiko itu bagi meraikan perceraiannya.
Rafael ditemani oleh sepupu dan rakannya ke sebuah tempat pelancongan popular di Campo Magro, Curitiba.
Dua hari sebelum insiden itu berlaku, Rafael dimarahi oleh ibunya apabila dia menyuarakan hasratnya untuk melakukan aktiviti ekstrem itu.
“Apa yang Rafael tidak sedar adalah terjunan itu hampir meragut nyawanya,” jelas laporan.
Satu rakaman video menunjukkan Rafael membuat terjunan dari platform sambil disaksikan oleh sepupu dan rakannya sebelum tali keselamatannya terputus ketika berada di ruang udara.
Orang ramai bergegas membantu Rafael beberapa ketika selepas dia terhempas pada permukaan air kolam itu.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan.
Rafael mengalami patah tulang di muka, leher, belakang dan pinggangnya.
“Selepas bercerai, saya mahu menikmati kehidupan dalam apa jua cara.
“Saya mengakui melakukan banyak perkara tidak munasabah, malah tidak menghargai hidup saya,” katanya kepada saluran G1.