LONDON: Seorang warga Britain terus berdegil menawarkan pakej percutian ke Afghanistan meskipun kerajaan mengeluarkan nasihat perjalanan yang melarang rakyatnya mengunjungi negara itu.
Jurukamera bebas, Joe Sheffer mengenakan bayaran sebanyak 4,000 pound (RM22,619) bagi setiap individu yang berhasrat mengikuti lawatan berkenaan.

Sheffer menguruskan percutian itu melalui syarikatnya, Safarat Tours yang ditubuhkan bersama bekas rakan sekerja, Noori Qadtullah.
Sebelum ini, Sheffer dan Noori pernah membawa kumpulan pelancong pertama ke Afghanistan pada Oktober tahun lalu.
Malah, Sheffer mendakwa sebuah lagi `kumpulan pelancong lebih besar’ dijangka berlepas dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Jelasnya, lawatan itu membabitkan kumpulan terdiri daripada gabungan pelancong dan individu yang sudah lama mempunyai kaitan dengan Afghanistan.
“Saya masih boleh mendapatkan perlindungan insurans tanpa mengira nasihat perjalanan dikeluarkan Kementerian Luar,” katanya.
Menurut Sheffer, pakej pelancongan itu antara lain menawarkan destinasi percutian ke Kandahar dan Helmand di selatan Afghanistan.
Baru-baru ini, beberapa ahli Parlimen parti Tory dan pegawai keselamatan mengkritik langkah itu.
Malah, mereka turut menyifatkan tindakan lelaki menawarkan pakej pelancongan demikian sebagai melulu.
Pengerusi jawatankuasa pemilih jabatan pertahanan, Tobias Ellwood menegaskan kumpulan pelancong menyertai pakej percutian itu tidak akan dilayan sebagai pengunjung mahupun pelancong.
Namun, katanya, golongan itu akan dilihat sebagai pengintip yang meninjau kekuatan Taliban.