JAKARTA: Seramai 949 orang rakyat Indonesia sudah dibawa keluar dari Sudan dengan 829 daripadanya sudah tiba di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Retno Marsudi seperti yang dilaporkan oleh Tribunnews.
“Kita bersyukur semua proses membawa pulang rakyat Indonesia dari Sudan berjalan lancar.
“Indonesia merupakan antara negara paling cepat yang membawa rakyatnya keluar berbanding negara lain dan kita harus bersyukur dengan perkara itu,” katanya.
Jelas Retno, sehingga kelmarin, sebanyak 949 rakyat negara ini sudah dibawa keluar dari Sudan.
Katanya, seramai 930 orang dibawa keluar menerusi Jeddah, 13 dari Mesir dan enam dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Jumlah rakyat yang sudah tiba di tanah air adalah seramai 829 orang. Mereka semua dihantar pulang secara berperingkat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Retno turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mengeluarkan rakyat negara ini dari Sudan, termasuk Arab Saudi dan UAE.