Korea Utara catat perhambaan moden tertinggi di dunia - Utusan Malaysia

Korea Utara catat perhambaan moden tertinggi di dunia

KOREA Utara berada di tangga teratas Indeks Perhambaan Global 2023.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON:  Laporan penyelidikan terbaharu mendapati Korea Utara, Eritrea dan Mauritania mempunyai kelaziman perhambaan moden tertinggi di dunia dan situasi berkenaan dilihat bertambah buruk berbanding tinjauan terakhir yang dibuat lima tahun lalu.

Menurut Indeks Perhambaan Global 2023, dianggarkan 50 juta orang hidup dalam situasi perhambaan moden pada 2021, meningkat 10 juta berbanding pada 2016 ketika kali terakhir masalah itu direkodkan.

Angka tersebut termasuk kira-kira 28 juta orang yang bekerja sebagai buruh paksa dan 22 juta lagi yang meneruskan hidup dalam perkahwinan paksa.

PERHAMBAAN MELONJAK

Berdasarkan laporan yang disusun oleh badan amal hak asasi manusia, Walk Free, antara faktor utama peningkatan  masalah perhambaan moden termasuk konflik bersenjata yang semakin meningkat dan lebih kompleks, kemerosotan alam sekitar yang meluas serta kesan daripada pandemik Covid-19.

Laporan berkenaan mentakrifkan perhambaan moden merangkumi buruh paksa, perkahwinan paksa, hutang, eksploitasi seksual komersial, pemerdagangan manusia serta penjualan dan eksploitasi kanak-kanak.

Korea Utara yang lebih tertutup dan autoritarian mempunyai kelaziman tertinggi perhambaan moden dengan nisbah 104.6 setiap 1,000 penduduk.

Eritrea pula mencatat nisbah 90.3 sementara Mauritania yang menjadi negara terakhir di dunia melarang perhambaan keturunan pada 1981 mencatat angka 32.

“Sebanyak 10 negara dengan kelaziman tertinggi perhambaan moden mempunyai beberapa ciri umum, termasuk perlindungan terhad untuk kebebasan sivil dan hak asasi manusia.

“Kebanyakan negara berada di kawasan yang disifatkan tidak stabil, sama ada kerana mengalami konflik, ketidakstabilan politik atau menjadi tuan rumah kepada populasi besar mereka yang terdedah seperti pelarian mahu pun pekerja asing,” jelas laporan itu.

CENGKAMAN EKONOMI BESAR

Turut berada dalam kelompok 10 teratas global ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, di mana hak buruh pekerja asing dihadkan oleh sistem penajaan dipanggil kafala.

Turkiye yang menempatkan berjuta-juta pelarian dari Syria, Tajikistan, Russia dan Afghanistan turut berada di kelompok sama.

“Walaupun buruh paksa sering berlaku di negara berpendapatan rendah, namun masalah itu mempunyai kaitan dengan permintaan daripada negara berpendapatan tinggi.

“Ini kerana, dua pertiga daripada semua kes buruh paksa dikaitkan dengan rantaian bekalan global,” tambah laporan itu.

Laporan itu berkata, negara-negara G20 terdiri daripada Kesatuan Eropah (EU) dan 19 ekonomi utama dunia kini mengimport barangan bernilai AS$468 bilion (2.14 trilion) yang berisiko dihasilkan oleh buruh paksa. 

Jumlah tersebut meningkat daripada AS$354 bilion (1.6 trilion) dalam laporan sebelumnya.

Elektronik kekal sebagai produk nilai tinggi paling berisiko diikuti pakaian, minyak sawit dan panel solar.

“Perhambaan moden meresap dalam setiap aspek masyarakat kita. Ia berlaku ketika menenun pakaian kita, menyalakan alat elektronik kita atau merencah makanan kita.

“Pada terasnya, perhambaan moden adalah manifestasi ketidaksamaan yang melampau. Ia adalah cermin yang memegang kuasa, mencerminkan siapa dalam mana-mana masyarakat tertentu memilikinya dan siapa yang tidak,” tegas Pengarah dan  Pengasas Walk Free, Grace Forrest.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.