Kes Covid-19 di Indonesia dijangka terus meningkat  - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 di Indonesia dijangka terus meningkat 

SEORANG wanita memakai pelitup muka berjalan melepasi lukisan mural yang mempromosikan kesedaran tentang wabak Covid-19 di Jakarta.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Agensi Kesihatan Jakarta memberi amaran bahawa jumlah kes Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas varian Arcturus melanda negara itu.

Lapor Channel News Asia, Indonesia melaporkan 10 kes Covid-19 di Jakarta melibatkan varian Arcturus sejak strain itu mula dikesan pada 23 Mac lalu.

Menurut kajian terbaharu Universiti Tokyo, Arcturus atau XBB.1.16 ialah subvarian virus Omicron yang merebak lebih cepat daripada strain XBB.1 dan XBB.1.5.

Peningkatan jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan di Indonesia dipercayai berpunca ekoran penularan varian itu ketika ramai berada di tempat sesak sempena perayaan Aidilfitri.

Ketua Bahagian Pengawasan Epidemiologi dan Imunisasi Agensi Kesihatan Jakarta, Ngabila Salama dalam satu kenyataan berkata, Indonesia kini merekodkan lebih 1,000 kes Covid-19 baharu setiap hari.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 6.7 juta sejak wabak berkenaan melanda negara itu pada Mac 2020.

Justeru, Ngabila memberi amaran kepada penduduk untuk terus berwaspada dan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan sesak selain menyarankan mereka mengambil dos penggalak.

“Trend ini masih meningkat. Puncaknya diramalkan berlaku minggu depan dengan jumlah kes harian Covid-19 dijangka mungkin mencecah lebih 4,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN