LONDON: Sebuah kepala mumia dari Mesir dipercayai berusia 2,800 tahun dan jarang ditemukan, kini mula dijual dalam acara lelongan.
Kepala mumia itu dibawa ke United Kingdom (UK) oleh seorang askar warga Britain semasa Perang Dunia Pertama.
Lapor Daily Mail, artifak itu yang tersimpan lama di dalam almari selama beberapa dekad, kini di lelong pada harga 20,000 pound (RM111,481).
Kepala mumia itu dipercayai berasal antara 800 dan 750 Sebelum Masihi.
Dilaporkan, artifak tersebut disimpan oleh keluarga askar yang identitinya tidak didedahkan, selama 100 tahun.
“Dia meletakkan kepala mumia itu di bawah kubah kaca untuk mengekalkannya namun beberapa pengunjung tidak berminat melihatnya, jadi tengkorak itu akhirnya disimpan di dalam almari.
“Ia kini dijual oleh seorang individu dari keluarga askar itu yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum,” jelas laporan itu.
Dilaporkan, kepala mumia itu diawet semasa Tempoh Pertengahan Ketiga Mesir purba iaitu antara 1070 hingga 664 Sebelum Masihi.
Tambah laporan itu, artifak tersebut akan dijual dalam acara lelongan Swan Fine Art yang berpangkalan di Teitsworth.
Sementara itu, pakar Swan Fine Art, Matthew Hull mengakui kepala mumia Mesir purba amat jarang sekali dapat dilihat dalam acara lelongan awam.









