YANGON: Kekejaman junta tentera Myanmar dikhuatiri semakin berleluasa apabila dilihat bertungkus lumus cuba untuk menghapuskan pengaruh demokrasi dan sokongan rakyat terhadap Aung San Suu Kyi sehingga sanggup membunuh rakyat yang tidak berdosa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan tentera Myanmar membunuh sekurang-kurangnya 2,940 orang awam dan menahan lebih 17,000 penduduk yang dianggap menentang mereka, sekali gus mewujudkan situasi malapetaka lebih dua tahun sejak rampasan kuasa bermula.
PENDUDUK MENDERITA
Tentera menggunakan kekerasan dan bertindak kejam menembak dan membunuh penunjuk perasaan tidak bersenjata di bandar dan pekan di seluruh negara, termasuk di bandar terbesar Yangon, Mandalay dan Kone Ywar.
Serbuan udara, tembakan meriam dan pertempuran dengan kumpulan yang menentang pemerintahan tentera dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), menyebabkan lebih 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal dan kira-kira 17.6 juta memerlukan bantuan kemanusiaan.
Seorang pekerja utiliti, Kyaw Hsan Oo,30, berkata, Februari lalu, kumpulan tentera memasuki pekan Kone Ywar dan membakar perkampungan di kawasan itu menyebabkan kira-kira 600 buah rumah musnah.
Lebih teruk, penduduk kampung yang pulang menemui mayat dua lelaki berusia 50 tahun yang ditembak selepas tidak berjaya melarikan diri kerana kesihatan yang kurang baik sementara mayat seorang lagi lelaki ditemukan rentung di dalam runtuhan rumahnya.
“Penduduk kampung itu tidak bersalah. Mereka bukan sebahagian daripada penentang sebaliknya hanya penduduk kampung yang tidak berdaya. Tindakan itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Keganasan paling buruk di berlaku di wilayah Sagaing di tengah Myanmar di mana konfrontasi dilaporkan berlaku hampir setiap hari antara pasukan penentang dan tentera.
PBB mengesahkan sudah mendokumentasikan sekurang-kurangnya 1,200 pembunuhan di Sagaing selain kerosakan 47,778 tempat tinggal dan harta benda yang dikatakan boleh menyamai jenayah perang.
Imej satelit yang diperoleh Unit Penyiasatan Sanad Al Jazeera turut mendedahkan kemusnahan yang meluas di kawasan itu, dengan beberapa kampung hampir sepenuhnya menjadi abu.
Mereka yang terselamat dari beberapa kampung memberitahu, tentera membunuh sesiapa sahaja yang terlalu tua atau lemah untuk melarikan diri, mencuri barang berharga dari rumah mereka, memusnahkan dokumen penting termasuk kad pengenalan diri dan membakar bangunan, binatang ternakan serta bekalan makanan.
Sementara itu, jelas seorang penduduk di wilayah Tint Tei, Ko Nai,36, pasukan tentera juga seakan tidak berperi kemanusiaan apabila membakar gudang-gudang menyimpan beras yang menjadi makanan ruji majoriti penduduk di negara itu.
Di kampung kami, ramai keluarga memiliki gudang yang boleh menyimpan sehingga 5,000 – 10,000 tin beras.
“Akibat serangan tentera, kampung kami bukan sahaja kehilangan tempat tinggal tetapi juga lebih 150 gudang penyimpanan beras yang menjadi sumber makanan untuk berjuta-juta penduduk,” jelasnya.
RAYU BANTUAN
Ramai penduduk kini berlindung di biara atau sekolah atau tempat perlindungan sementara yang dibina dengan tiang buluh, jerami sawit dan helaian daun sebagai atapnya.
“Penduduk kampung menghadapi keadaan yang teruk tanpa kawasan yang sesuai untuk berlindung daripada hujan lebat dan panas terik matahari. Kami cuba yang terbaik untuk menghadapi situasi itu dan membantu semampu kami, justeru kami amat mengharapkan bantuan luar,” kata seorang sukarelawan, Ko Han Lay.
Harapan untuk memperoleh keadilan dan menamatkan keganasan yang melanda hampir malap apabila Russia dan China menyekat tindakan bermakna Majlis Keselamatan PBB terhadap Naypyidaw, malah berkecuali pada Disember untuk mengundi resolusi yang menuntut keganasan dihentikan dan menggesa pembebasan tahanan politik, termasuk Suu Kyi.
Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing yang disekat oleh Barat masih enggan mempedulikan gesaan jiran Asia Tenggara untuk berdialog atau membuka akses kemanusiaan ke kawasan yang dilanda keganasan sebaliknya, mengarahkan tindakan lebih tegas terhadap kumpulan penentang.
Di tengah kebuntuan diplomatik, Aung Hlaing malah merancang pilihan raya untuk mengukuhkan peranan tentera dalam politik sementara kumpulan pimpinan Suu Kyi dilarang bertanding kerana gagal mendaftar di bawah undang-undang pilihan raya baharu yang sukar.
Kumpulan Krisis Antarabangsa, memberi amaran, rancangan berkenaan yang mungkin berlangsung menjelang November, berkemungkinan menjadi pilihan raya yang paling berdarah dalam sejarah negara itu.