BANDUNG: Penduduk di sekitar pasar Baleendah di Jawa Barat berharap Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kembali melawat kawasan itu bagi menyelesaikan masalah timbunan sampah yang berlarutan di pasar berkenaan.
Semasa lawatan Jokowi pada 3 Mac lalu, sampah di Pasar Baleendah tiba-tiba diangkut dan kawasan itu dibersihkan.
Namun tidak lama selepas itu sampah di kawasan tersebut berkembali menggunung.
Berdasarkan pemantauan Kompas.com, terdapat puluhan sisa sampah di Pasar Baleendah dengan longgokan paling tinggi mencapai lima meter.
Longgokan sampah juga terdapat di pintu masuk selatan Pasar Baleendah yang turut mencemarkan pemandangan di kawasan tersebut.
Menurut penduduk dikenali sebagai Ali, sampah itu sudah wujud sejak awal bulan Ramadhan lalu dan mengeluarkan bau yang busuk.
Malah penduduk dan peniaga juga sukar untuk melintas di beberapa kawasan di Pasar Baleendah akibat air sampah yang bertakung di atas jalan.
“Jika mahu lihat kawasan ini bersih, hanya ketika pegawai atau Presiden membuat lawatan. Ketika Jokowi datang, bukan sahaja longgokan sampah, kawasan jalan sekeliling turut bersih.
“Tetapi selepas itu, masalah sama kembali berulang. Ramai pelanggan merungut tetapi pemandangan longgokan sampah di sini sudah seakan perkara biasa. Penduduk tidak disediakan kawasan lain untuk membuang sisa menyebabkan sampah makin menggunung setiap hari,” katanya.