JAKARTA Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo di Nusa Tenggara Timur semalam.
Tahun ini merupakan kali pertama Timor Leste mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ASEAN selepas diterima secara prinsip menjadi anggota ke-11 di Phnom Penh November tahun lalu.
“Yang berbahagia, Taur Matan Ruak, Perdana Menteri Timor Leste, Selamat menyertai keluarga ASEAN,” kata Jokowi ketika berucap pada majlis perasmian sidang kemuncak berkenaan di Hotel Meruorah di Labuan Bajo.
Selain Taur Matan, Jokowi turut mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone yang pertama kali mewakili negara masing-masing dalam sidang kemuncak tersebut.
Jokowi dalam ucapannya menegaskan, ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya dan sukar untuk diramalkan, malah sempat bertanya kepada pemimpin yang hadir sama ada ASEAN hanya akan berdiam diri untuk melihat masalah itu berlarutan.
“Dan persoalannya ialah sama ada ASEAN hanya akan menjadi penonton? Adakah ASEAN hanya akan berdiam diri, dan adakah ASEAN mampu menjadi enjin keamanan dan pertumbuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Jokowi mengakui beliau percaya ASEAN mampu menjadi pemain utama dalam membawa keamanan dan menjana kembali pertumbuhan ekonomi jika semua negara anggota bersetuju untuk bersatu serta berganding bahu.
“Kita mempunyai aset yang kukuh sebagai pusat pertumbuhan dengan ekonomi yang berkembang jauh melebihi purata dunia, bonus demografi dan kestabilan serantau yang dikekalkan.
“Diharap supaya pada masa depan ASEAN mesti mengukuhkan lagi integrasi ekonominya,” tegas Jokowi dipetik Kompas.com.