BADUNG: Kementerian Penyelaras Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) memaklumkan ada kenaikan kos ibadah haji pada tahun ini secara berperingkat.
Perkara itu diumumkan oleh menterinya, Muhadjir Effendy dalam satu sidang akhbar di Nusa Dua, Bali kelmarin.
“Seperti yang ditetapkan, memang ada kenaikan kos haji pada tahun ini, namun ia naik secara berperingkat, bukannya sekali gus.
“Jika naik sekali gus, perkara itu akan mendatangkan masalah (membebankan) kepada jemaah,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Muhadjir turut memberitahu, kerajaan akan meneliti kos kenaikan itu dengan keperluan jemaah bagi memastikan ibadah haji tahun ini dapat berjalan dengan lancar.
“Kerajaan akan meneliti semua aspek berhubung kenaikan kos tersebut, termasuk kesannya terhadap jemaah dan selepas itu, kita akan ambil keputusan yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Muhadjir pernah menyarankan agar kenaikan kos haji dinaikkan secara bertahap berdasarkan situasi ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan, kos kenaikan haji tidak dapat dielakkan kerana sebelum ini, jemaah hanya membayar sebahagian kos dan selebihnya menerusi subsidi kerajaan.
Namun, beliau tidak mahu kenaikan itu membebankan masyarakat memandangkan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.
“Kenaikan kos haji tidak dapat dielakkan, namun kita juga tidak mahu ia dinaikkan secara sekali gus kerana bimbang membebankan bakal jemaah.
“Kerajaan akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa berhubung kos haji ini selaras dengan penyelarasan di Arab Saudi,” jelasnya.