Gaza diserang lagi, penduduk dalam ketakutan

Gaza diserang lagi, penduduk dalam ketakutan

PENDUDUK menyelamatkan harta benda di sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel meneruskan siri serangan udara ke atas Semenanjung Gaza buat hari keempat berturut-turut sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya dua penduduk Palestin maut dan beberapa lagi cedera.

Lapor Al Jazeera, seorang mangsa yang terbunuh dalam serangan udara ke atas bangunan kediaman pada Jumaat lalu, merupakan pemimpin kanan kumpulan pejuang, Jihad Islam Palestin (PIJ).   

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara minggu ini meningkat kepada sekurang-kurangnya 33 orang termasuk kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan setakat ini, lebih 110 orang cedera dalam serangan udara Israel.  

Dilaporkan, ratusan roket juga dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah Israel, dengan seorang warga emas berusia 70 tahun terbunuh dalam kejadian itu.

Wartawan Al Jazeera, Youmna El Sayed dari Gaza melaporkan serangan udara terbaharu itu menyasarkan sebuah bangunan kediaman enam tingkat di kawasan kejiranan Al-Nasr yang padat dengan penduduk.

“Israel melancarkan serangan ke atas sebuah apartmen penduduk yang memusnahkan sekurang-kurangnya tiga tingkat bangunan itu.

“Penduduk tidak diarah keluar dari rumah masing-masing, malah tiada amaran peluru berpandu diberikan sebelum serangan itu dilancarkan,” katanya.

Seorang lagi wartawan Al Jazeera, Issam Adwan melaporkan bahawa hampir setiap kawasan di Gaza menjadi sasaran serangan udara Israel.

“Kami menyaksikan siri serangan udara Israel di kebanyakan bandar di seluruh Semenanjung Gaza,” katanya. 

Sementara itu, ketua pejabat penerangan kerajaan Gaza, Salameh Maarouf mengesahkan bandar Gaza digegarkan dengan serangan udara.

Menurut Salameh, setakat ini, sekurang-kurangnya 139 bangunan sudah musnah sepenuhnya manakala lebih 500 lagi rosak sebahagiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya