JAKARTA: Indonesia sebelum ini pernah menjadi antara negara paling menyerlah dalam pelbagai sektor di bawah pimpinan beberapa presiden termasuk Abdurrahman Wahid, Megawati Sukarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono.
Menurut bekas Menteri Hal Ehwal Maritim ketika di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) antara 2015 dan 2016, Rizal Ramli, ada suatu ketika, Indonesia menjadi negara transisi demokrasi paling berjaya dalam sejarah moden, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada negara Islam yang lain.
Katanya, ketika itu, rakyat negara ini berpeluang secara terbuka menyuarakan pandangan mengenai para pemimpin, selain mendapat maklumat secara menyeluruh daripada media arus perdana.
“Kini, 25 tahun selepas kejatuhan Suharto, rakyat Indonesia berdepan dengan saat paling teruk dalam sejarah negara ini.
“Jokowi dan Kabinetnya serta Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memberi tamparan hebat kepada demokrasi Indonesia.
“Barisan kepemimpinan hari ini menjadikan Indonesia seperti negara separa autoritarian berbanding negara demokrasi,” katanya menerusi penulisan dalam Nikkei Asia.
Jelas Rizal, contoh paling jelas Indonesia semakin ketinggalan dalam demokrasi apabila satu kod jenayah yang diwujudkan kerajaan membolehkan mana-mana pihak yang didakwa menghina presiden, timbalan presiden atau barisan kepemimpinan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, jika disabit kesalahan, pihak berkenaan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.
“Satu lagi aspek yang menjadi masalah besar dalam pentadbiran Jokowi adalah beliau gagal membanteras kegiatan rasuah yang semakin tidak terkawal.
“Skor Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah jatuh mendadak dan penurunan itu disebabkan kegagalan strategi serta program negara dalam mengawal rasuah,” ujarnya.
BANYAK SKANDAL RASUAH
Terdapat banyak skandal rasuah berlaku dalam negara sejak beberapa tahun lalu, malah ada yang membabitkan individu berprofil tinggi, termasuk dua hakim Mahkamah Agung Indonesia yang ditangkap kerana didakwa menerima rasuah bagi memihak kepada ahli perniagaan yang terlibat dalam koperasi.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Mohammad Mahfud sebelum ini memberitahu, kira-kira 500 pegawai dari pejabat cukai, kastam dan eksais disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram sejak sedekad lalu.
Disebabkan pendedahan itu, terdapat segelintir anggota DPR menuduh beliau membocorkan rahsia negara dan menurut Rizal, sikap sedemikian bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana anggota DPR merupakan antara golongan paling banyak terlibat dengan rasuah di negara ini.
Pada 2019, DPR meluluskan rang undang-undang yang mengekang kuasa Suruhanjaya Pembasmian Rasuah.
Kemudian, Jokowi menandatangani rang undang-undang itu untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang, sekali gus ‘memburukkan’ lagi imej beliau dalam memerangi jenayah rasuah.
JOKOWI TIDAK TEGAS?
Sikap Jokowi yang berdiam diri dalam skandal pengubahan emas haram merupakan satu daripada contoh jelas bagaimana kepemimpinan beliau yang lemah membuka jalan kepada kekurangan akauntabiliti awam, sekali gus menyebabkan kerugian yang besar kepada negara.
Berdasarkan cara beliau mengendalikan skandal terdahulu yang melibatkan Kabinet dan sekutunya, tiada sebab untuk mempercayai Jokowi akan menuntut siasatan jenayah terhadap mereka yang dikatakan terlibat dalam kes baharu ini.
Disebabkan hal itu, tiada banyak perubahan dijangka berlaku sehinggalah rakyat memilih presiden baharu dalam pilihan raya umum tahun depan.
Menurut Rizal, calon-calon presiden baharu yang bakal menggantikan Jokowi bukan sahaja memerlukan sokongan padu daripada rakyat, malah mereka juga perlu bersedia dengan tuntutan masyarakat mengenai bagaimana mereka boleh memerangi rasuah secara lebih berkesan.
“Apa yang lebih penting, kesemua calon pemimpin ini perlu mengetahui bagaimana untuk melindungi demokrasi dan kebebasan di Indonesia,” jelasnya. – AGENSI