Finland, Israel antara negara paling bahagia di dunia - Utusan Malaysia

Finland, Israel antara negara paling bahagia di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Finland muncul sebagai negara paling bahagia di dunia dalam tempoh enam tahun berturut-turut.

Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan Laporan Kebahagiaan Dunia tahunan mereka, baru-baru.

Laporan itu mengambil kira enam faktor utama untuk meletakkan kedudukan lebih daripada 150 negara berdasarkan penilaian purata aspek kehidupan mereka, antara 2020 hingga 2022.

Ia dinilai berdasarkan faktor sokongan sosial, pendapatan, kesihatan, kebebasan, kemurahan hati serta ketiadaan rasuah.

Laporan itu turut mengkaji jurang kebahagiaan antara kelas atas dan kelas bawah penduduk di setiap negara.

Kedudukan tahun ini adalah sama seperti tahun sebelum dengan negara di rantau Nordik menduduki tiga tempat teratas iaitu selain Finland, dan diikuti Denmak dan Iceland, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Menurut ahli falsafah dan penyelidik psikologi Finland, Frank Martela, antara punca orang di Finland sangat gembira adalah kerana tidak membandingkan diri mereka dengan jiran mereka, tidak mengabaikan manfaat alam semula jadi dan tidak mengingkari kepercayaan masyarakat.

“Fokus lebih pada perkara yang menggembirakan anda dan kurangkan pada untuk fokus untuk dilihat berjaya.

“Langkah pertama untuk kebahagiaan sejati ialah menetapkan piawaian anda sendiri, bukannya membandingkan diri anda dengan orang lain,” katanya kepada CNBC Make It.

Sementara itu, kedudukan tinggi Denmark sebahagiannya disebabkan tahap kesaksamaan dalam negara dan rasa tanggungjawab negara untuk kebajikan sosial, menurut laman web rasmi negara itu.

Orang yang tinggal di Denmark memang membayar antara jumlah cukai tertinggi di dunia sehingga separuh daripada pendapatan mereka.

Namun, aspek itu diimbangi dengan kebanyakan penjagaan kesihatan di negara ini adalah percuma, pelajar universiti tidak membayar tuisyen dan menerima geran untuk membantu menampung perbelanjaan sementara mereka belajar.

Malah, penjagaan anak diberi subsidi manakala warga emas menerima pencen dan dibekalkan dengan pembantu penjagaan.

Iceland pula, mungkin negara yang paling kurang penduduknya di Eropah, tetapi penduduknya adalah antara yang paling gembira di dunia kerana sikap negara itu tidak bergantung kepada orang lain dan penduduknya mempunyai semangat kemasyarakatan kuat.

Sementara itu, Amerika Syarikat tidak termasuk dalam kelompok 10 teratas namun menduduki tangga ke-15.

Berikut senarai penuh 10 negara paling bahagia tahun ini:

1. Finland

2. Denmark

3. Iceland

4. Israel

5. Belanda

6. Sweden

7. Norway

8. Switzerland

9. Luxembourg

10. New Zealand

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.