MOSCOW: Akhbar berita Russia, Kommersant melaporkan, dua jet pejuang milik negara ini dan dua helikopter tentera ditembak jatuh semalam berhampiran sempadan Ukraine.
Kommersant menerusi laman webnya menyatakan, pesawat pengebom Su-34, pesawat pejuang Su-35 dan dua helikopter Mi-8 ‘ditembak jatuh hampir serentak’ dalam satu serangan hendap di wilayah Bryansk, bersebelahan timur laut Ukraine.
“Menurut data awal, pesawat itu sepatutnya menghantar peluru berpandu dan serangan bom ke atas sasaran di wilayah Chernihiv, Ukraine dan helikopter berada di sana untuk menyokong mereka,” katanya.
Agensi berita negara Russia TASS pula melaporkan, sebuah pesawat perang Su-34 milik Russia turut terhempas di wilayah itu, tetapi tidak menyatakan punca kejadian.
TASS juga memetik pegawai perkhidmatan kecemasan sebagai berkata, kebakaran enjin dalam sebuah helikopter menyebabkan ia terhempas berhampiran Klintsy, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sempadan.
Ia tidak menyebut tentang Su-35 atau helikopter kedua.
Sebuah video yang disiarkan di saluran Telegram pro-perang Russia Voyenniy Osvedomitel, menunjukkan sebuah helikopter di udara meletup dan terjunam ke tanah lalu terbakar.
Imej lain yang disiarkan oleh saluran itu menunjukkan bangkai pesawat di ladang pertanian.
Semalam, Gabenor Wilayah Bryansk, Alexander Bogomaz berkata sebuah dron Ukraine menyerang kilang pengeluaran makanan di Starodub, berhampiran sempadan Ukraine, merosakkan bumbung.
Bogomaz yang menulis di Telegram, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Insiden itu berlaku dua hari selepas Bogomaz melaporkan serangan dron ke atas depoh simpanan minyak di wilayah itu. – REUTERS