Dua angkasawan Arab Saudi berlepas ke ISS hari ini - Utusan Malaysia

Dua angkasawan Arab Saudi berlepas ke ISS hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE CANAVERAL: Satu misi persendirian ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) anjuran Axiom Space akan berlepas dari Florida membawa dua angkasawan Arab Saudi pertama ke makmal orbit.

Rayyanah Barnawi, seorang penyelidik kanser payudara, akan menjadi wanita Arab Saudi pertama yang berlepas ke angkasa lepas dan disertai rakan senegara, Ali Al-Qarni, seorang juruterbang pejuang.

Krew Axiom Mission 2 (Ax-2) akan berlepas menaiki roket SpaceX Falcon 9 dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral di negeri selatan Florida pada pukul  5.37 petang hari ini (2137 GMT).

Pasukan itu turut disertai, bekas angkasawan NASA, Peggy Whitson yang akan membuat penerbangan keempatnya ke ISS, dan John Shoffner, ahli perniagaan dari Tennessee yang berkhidmat sebagai juruterbang.

Mereka akan menghabiskan masa kira-kira 10 hari di atas ISS, di mana mereka sepatutnya tiba sekitar pukul 1.30 tengah hari esok.

“Menjadi angkasawan wanita Arab Saudi pertama, mewakili rantau ini, adalah satu keseronokan dan penghormatan yang saya sangat gembira untuk membawanya,” kata Barnawi.

Tambahnya, selain keterujaan untuk penyelidikan yang akan dilakukannya di atas kapal, beliau tidak sabar untuk berkongsi pengalamannya dengan anak-anak ketika berada di ISS.

“Dapat melihat wajah mereka apabila melihat angkasawan dari wilayah mereka buat kali pertama adalah sangat mendebarkan,” katanya.

Al-Qarni berkata beliau sentiasa mempunyai semangat meneroka dan mengagumi langit dan bintang.

“Ia adalah peluang yang baik untuk saya meneruskan minat seperti ini dan kini mungkin terbang di antara bintang-bintang.”

Misi itu bukanlah pertama bagi Arab Saudi ke angkasa lepas.

Pada 1985, Putera Sultan Salman Abdulaziz, seorang juruterbang tentera udara, mengambil bahagian dalam pelayaran angkasa lepas anjuran Amerika Syarikat (AS). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.