JAKARTA: Tentera laut Indonesia dengan kerjasama pasukan Intermar Lantamal I berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan melibatkan pekerja migran Indonesia dan warga asing ke Malaysia.
Komander Pangkalan Tentera Laut Indonesia di Dumai, Kolonel Stanley Lekahena berkata, seramai 34 pendatang asing tanpa izin cuba memasuki negara jiran secara haram melalui laluan pesisir pantai Kampung Pelintung di daerah Medang Kampai.
Katanya, golongan itu membabitkan 10 warga Indonesia dan 24 warga asing.
“Secara keseluruhan, seramai 34 orang terdiri daripada 30 lelaki dan empat wanita.
“Daripada jumlah warga asing itu, terdapat enam warga Bangladesh dan 18 etnik Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan sepertimana dilaporkan portal Kompas.
Menurut Stanley, pada mulanya, pihaknya menerima maklumat daripada ejen di lapangan mengenai cubaan kumpulan warga itu menyeludup masuk ke Malaysia secara haram.
“Pasukan kami menerima maklumat mengenai rancangan menyusup masuk ke negara jiran secara haram dengan menggunakan bot laju,” katanya.
Jelas beliau, setelah tiba di lokasi, pasukan petugas bersama itu melakukan operasi pencarian dari kawasan hutan bakau hingga ke pesisir pantai.
Katanya, akhirnya, pasukan petugas itu berjaya menahan kumpulan pekerja migran Indonesia dan warga asing yang berkumpul di pesisir Pantai Pelintung untuk berlepas ke negara jiran.
“Kawasan pesisir Pantai Pelintung merupakan lokasi mereka berhimpun. Ketika itu, golongan itu sedang bersiap sedia berlepas ke Malaysia,” katanya.
Tambah Stanley, kesemua 34 individu itu dibawa ke pangkalan tentera laut di Dumai untuk menyemak identiti mereka.