GAZA CITY: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia akibat dibaham seekor singa di sebuah pusat peranginan di selatan Semenanjung Gaza.
Menurut polis, ketika kejadian, mangsa memanjat pagar pelindung berhampiran sangkar yang menempatkan haiwan liar itu di pusat peranginan Asda di Khan Yunis.
Beberapa saksi mendakwa kanak-kanak lelaki itu menyelinap masuk melalui lubang kecil di pagar terbabit lalu menghampiri sangkar singa betina sebelum kepala mangsa dibaham haiwan tersebut.
“Pasukan keselamatan berjaya menarik keluar mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dan dikejarkan ke hospital,” katanya.
Pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital di bandar.
Sementara itu, polis memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kejadian itu.
Katanya, pusat peranginan itu kini ditutup untuk siasatan lanjut. – AFP










