Afghanistan semakin 'tenat', rakyat sengsara - Utusan Malaysia

Afghanistan semakin ‘tenat’, rakyat sengsara

ORANG ramai beratur untuk menerima roti percuma sempena kempen Selamatkan Penduduk Afghanistan daripada Kebuluran di Kabul pada Januari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Penduduk Afghanistan menghadapi ‘tahun sangat sukar di hadapan’, kata seorang pegawai kanan bantuan Amerika Syarikat (AS) sebagai amaran mengenai krisis di negara itu.

Tambah beliau, negara-negara penderma masih bergelut dengan pentadbiran Taliban yang terus mengamalkan dasar tegar ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan, ketika lebih banyak krisis lain di serata dunia, menyebabkan dana bantuan semakin berkurangan.

Kumpulan Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021 selepas tentera pimpinan AS berundur dari negara itu selepas 20 tahun berperang.

April lalu, Taliban mula menguatkuasakan sekatan ke atas wanita Afghanistan yang bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas menghentikan kebanyakan wanita tempatan yang bekerja dengan badan bantuan antarabangsa pada Disember 2022.

Pentadbir Agensi AS untuk Pembangunan Antarabangsa (Usaid), Samantha Power, berkata pihaknya menjangka ini tahun yang sangat sukar buat rakyat Afghanistan.

“Kita tidak mungkin boleh membiasakan diri dengan perkara ini kerana ia adalah menyedihkan dari segi moral, dan juga sangat bodoh.

“Pada 2022, Usaid mempunyai lebih banyak wang untuk diberikan sebagai bantuan berkaitan perang Russia di Ukraine, yang dipersalahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai punca krisis makanan peringkat sejagat,” katanya kepada Reuters.

Beliau berkata Washington perlu membuat beberapa ‘pilihan yang sangat sukar’ tahun ini mengenai bantuan kemanusiaan sejagat.

Menurutnya, bagi tahun ini, adalah sangat penting negara lain dapat meningkatkan sumber melebihi apa yang mereka mampu sumbangkan pada tahun lalu.

Ini kerana sebahagian besar dana AS sudah pun dibelanjakan buat krisis yang tidak dijangka seperti gempa bumi di Turkiye dan Syria selain perang di Sudan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pula berkata agensi itu akan bertahan di Afghanistan untuk cuba membantu jutaan orang memerlukan, kata tetapi beliau berkata pembiayaan semakin ‘kering’ berikutan rayuan untuk meraih AS$4.6 bilion (RM21 bilion) hanya tujuh peratus dipenuhi.

Menurut data PBB, AS adalah penderma terbesar kepada rayuan PBB pada 2022, memberi hampir AS$1.2 bilion (RM5.5 bilion) tetapi setakat ini, AS hanya memberi dana AS$75 juta (RM3.4 bilion) susulan rayuan PBB pada 2023.

PBB mempunyai kira-kira 3,300 kakitangan Afghanistan, dengan kira-kira 400 daripadanya adalah wanita, sedang kira-kira 600 kakitangan antarabangsa di negara itu tidak terjejas dengan larangan Taliban.

PBB berkata ia akan mengkaji semula operasinya dan berusaha sedaya upaya mengekalkan pekerja warga Afghanistan menerusi konsep bekerja dari rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.