MANILA: Gangguan bekalan elektrik di Terminal 3 sebuah lapangan terbang di Manila menyebabkan kira-kira 40 penerbangan domestik Cebu Pasifik terpaksa dibatalkan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook berkata, kelewatan penerbangan dijangka berlaku disebabkan gangguan itu namun tidak mendedahkan punca masalah tersebut.
“Sistem kuasa simpanan membekalkan elektrik kepada kemudahan kritikal dan membolehkan sebahagian komputer syarikat penerbangan serta imigresen berfungsi untuk proses penumpang masuk dan keluar,” katanya.
Pengendali lapangan terbang dan syarikat pembekal kuasa, Manila Electric Company sedang meneliti punca gangguan yang berlaku ketika musim kemuncak perjalanan dengan ramai warga Filipina akan pulang dari perjalanan hujung minggu selama tiga hari.
Dalam satu kenyataan, Cebu Pacific menawarkan pilihan kepada penumpangnya yang berlepas dan tiba dari Terminal 3 untuk menempah semula atau meminta bayaran balik dimasukkan ke dalam dana perjalanan untuk kegunaan masa hadapan.
Presiden, Ferdinand Marcos Jr. turut mengarahkan Setiausaha Pengangkutan, Jaime Bautista untuk memulihkan operasi kuasa di Terminal 3 lapangan terbang itu secepat mungkin sambil memberikan bantuan kepada penumpang yang terjejas.-REUTERS