BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand memberi amaran kepada penduduk di sebahagian besar kawasan di negara ini termasuk Bangkok supaya mengelak daripada berada di luar rumah disebabkan cuaca panas melampau.
Menurut Jabatan Meteorologi, suhu mencecah 42 darjah Celsius di daerah Bangna di Bangkok, manakala indeks haba pula mencapai rekod setinggi 54 darjah Celsius.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand menjangkakan suhu melepasi bacaan 40 darjah Celsius di sekurang-kurang 28 wilayah.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri berkata, cuaca panas melampau meningkatkan penggunaan elektrik di Thailand.
Katanya, negara itu menggunakan lebih 39,000 megawatt pada 6 April lalu.
Jelas Anucha, jumlah itu melepasi rekod penggunaan elektrik sebanyak 32,000 megawatt pada April tahun lalu.
Dilaporkan, sebahagian besar negara Asia juga berdepan gelombang haba ekstrem pada bulan ini, dengan beberapa negara mencatatkan suhu tertinggi dalam rekod.
Di Bangladesh dan beberapa bahagian di India, cuaca panas melampau mendorong kepada lonjakan dalam penggunaan elektrik sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus dan krisis lain bagi jutaan penduduk. – REUTERS