FLORIDA: Pegawai Sherif Florida membantu mengeluarkan buaya sepanjang 2.5 meter yang memasuki kawasan kolam renang yang terletak di belakang rumah seorang penduduk di bandar Melbourne baru-baru ini.
Namun reaksi wajah seorang timbalan sherif yang terkejut melihat reptilia itu lebih mencuri tumpuan hingga tular di media sosial.
Lapor UPI, Pejabat Sheriff Brevard County dalam catatan Instagram memaklumkan, Timbalan Sherif, Robert Santiago dan penangkap hidupan liar profesional, Scott Swartley bergegas ke sebuah rumah di Silver Lake Drive di Melbourne Sabtu lalu.
Mereka diarahkan ke kediaman tersebut selepas pejabat sherif itu mendapat panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang trauma melihat seekor buaya besar sedang berenang di dalam kolam renangnya.
Dalam catatan tersebut, Pejabat Sheriff Brevard County turut memuat naik gambar Swartley mengeluarkan buaya tersebut dari kolam manakala Santiago membantu dengan wajah terkejut.
“Saya ingin mengetahui dengan tepat apa yang difikirkan oleh Santiago ketika itu.
“Tetapi saya pasti dia mengeluh di dalam hatinya, ‘Oh, tidak, saya tidak mendaftar sebagai sherif untuk menangkap buaya!’,” tulis Sheriff, Wayne Ivey dalam catatan itu.
Catatan tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata turut bersetuju dengan Ivey.