Russia minat tamatkan konflik

Russia minat tamatkan konflik

TAHANAN askar Ukraine dibebaskan semasa sesi pertukaran tahanan di lokasi yang tidak diketahui di Ukraine. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Russia berminat menamatkan konflik di Ukraine secepat mungkin.

Hal itu ditegaskan Menteri Luarnya, Sergey Lavrov dalam sidang akhbar bersama-sama Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira di Brasilia, semalam.

Lavrov juga bersyukur kerana rakan-rakannya di Brazil memiliki pemahaman yang sangat baik tentang situasi di Ukraine dan berterima kasih atas keinginan untuk turut sama me­nyumbang mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

“Kami akan mengumumkan secara terperinci sebab-sebab pencerobohan berlaku dan matlamat yang dikejar dalam hal ini.

“Kami menjamin ketiadaan sebarang ancaman ketente­raan daripada Persekutuan Russia di wilayah Ukraine. Selain itu, sudah tentu, kami mahu melindungi nyawa dan hak undang-undang penduduk berbahasa Russia di timur dan selatan Ukraine,” tambah Lavrov.

PENCEROBOHAN TIDAK BERASAS
Selama ini, Kyiv dan Barat menyifatkan pencerobohan dan penaklukan Russia adalah tindakan yang tidak berasas apabila beribu-ribu penduduk terbunuh dan bandar-bandar Ukraine musnah.

Dalam lawatan ke Brazil, Lavrov turut bertemu dengan Pre­siden negara itu, Luiz Inacio Lula da Silva dan berterima kasih kepadanya atas usaha menyelesaikan konflik berkenaan.

Pertemuan mereka berlaku di tengah-tengah Barat mengkritik kenyataan Lula baru-baru ini yang mengecam sokongan pertahanan AS terhadap Ukraine.

Semasa lawatannya ke China 13 April lalu, Lula berkata, AS perlu berhenti menggalakkan perang dan perlu bermula bercakap tentang keamanan.

Beliau juga menggesa Kesa­tuan Eropah turut sama bercakap perkara sedemikian.

KUMPULAN PERANTARA
Sebelum memulakan lawatannya ke China, Lula mencadangkan untuk mewujudkan sekumpulan negara untuk menjadi perantara dalam pe­perangan.

Lula juga pernah memberitahu akan membincangkannya dengan Beijing, namun, masih belum perkemba­ngan lanjut.

Lavrov turut memuji usaha Lula dalam cuba menamatkan perang dengan menggesa mempromosikan saluran diplomatik untuk mengurangkan konflik.

Sementara itu, kata Vieira dalam sidang akhbar yang di­siarkan dalam televisyen, beliau mengulangi pendirian Brazil dalam menyumbang penyelesaian damai kepada konflik itu sambil mengingatkan manifestasi Presiden Brazil dalam mencari pembentukan kumpulan negara sahabat untuk menjadi perantara rundingan antara Russia dan Ukraine.

Vieira juga menekankan pendirian Brazil terhadap sekatan unilateral.

“Langkah-langkah sedemikian, selain mendapat kelulusan majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memberi kesan negatif kepada ekonomi di seluruh dunia dan khususnya di negara-negara kurang membangun,” kata Vieira.

KEBEBASAN UNILATERAL
Russia berulang kali me­nyatakan bahawa sebarang penyelesaian konflik adalah secara kebebasan unilateral empat wilayah Ukraine yang sebahagian­nya dikawal oleh tenteranya.

Mereka dikatakan terpaksa campur tangan di Ukraine pada Februari tahun lalu bagi mempertahankan hak rakyat penutur Russia daripada penganiayaan dan menghalang Barat menggunakan Ukraine untuk mengancam keselamatan Russia.

Bagaimanapun, Ukraine me­nyatakan keamanan dalam konflik hanya dicapai jika Russia memulihkan sempadan negara dan Kyiv mengambil semula Crimea.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN