JAKARTA: Sejumlah penduduk di Buluran, kota Jambi bertindak menanam pokok pisang di dalam lubang di tengah jalan yang terdapat di kawasan tersebut.
Lapor detik.com, tindakan itu dilihat sebagai bantahan penduduk terhadap jalan berlubang yang masih gagal dibaiki sehingga membahayakan orang ramai yang menggunakan jalan wilayah tersebut.
Tinjauan detikSumut mendapati jalan yang rosak itu dianggarkan sepanjang 800 meter dengan keadaannya berlubang serta berbonggol.
Malah, jelas laporan, habuk dari jalan rosak itu juga dilihat mengganggu penduduk setempat.
Seorang penduduk bernama Yono berkata, buat masa ini, beberapa jalan di kawasan itu memerlukan pembaikan dengan segera.
“Jalan ini dengan habuk yang bertaburan amat mengganggu kehidupan penduduk. Malah, keadaan jalan berlubang turut membahayakan orang ramai,” katanya.
Menurut Yono, jalan raya yang rosak itu sering digunakan oleh pemandu kenderaan berat yang membawa muatan bahan binaan.
Selain itu, katanya, jalan itu merupakan jalan penghubung ke kota Jambi dan daerah Muaro Jambi.
Tambah Yono, jalan itu turut menjadi laluan kepada penduduk yang ingin pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana ia merupakan jalan masuk yang menghubungkan jalan utama.
“Penduduk berasa berang kerana pihak berkuasa tempatan tidak melakukan kerja-kerja pembaikan jalan.
“Kami juga sudah meminta kerajaan segera membaiki jalan raya bagi memudahkan keadaan lalu lintas,” katanya.