Pelancongan utara Thailand terjejas akibat pencemaran udara

Pelancongan utara Thailand terjejas akibat pencemaran udara

SEBUAH pesawat Air Asia melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai di tengah-tengah tahap pencemaran udara yang tinggi. – REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHIANG MAI: Tahap pencemaran yang tinggi di bandar Chiang Mai di utara Thailand dan wilayah sekitarnya menghalang kemasukan pelancong dan mencemaskan penduduk tempatan.

Malah, lapor Channel News Asia, kerajaan Thailand menggesa penduduk mengelak daripada menjalankan aktiviti luar.

Selama beberapa minggu pada bulan Mac, bandar itu berada di puncak platform maklumat kualiti udara dalam carta global IQAir iaitu mengenai kualiti udara yang lemah, mendahului Lahore dan New Delhi.

Presiden Persatuan Hotel Thai Bahagian Utara, Phunut Thanalaopanich berkata, Chiang Mai yang terkenal dengan pemandangan pergunungan yang indah, kuil dan kafe bergaya, menerima 10.8 juta pengunjung pada pra-pandemik 2019, tetapi tempahan hotel di bandar itu dikatakan menurun kepada 45 peratus.

Katanya, kadar itu jauh lebih rendah daripada kadar 80 peratus hingga 90 peratus menurun yang dijangkakan menjelang cuti Tahun Baharu Thai minggu ini yang dikenali sebagai Pesta Songkran.

Penduduk Chiang Mai, Pathsharasakon Po, 36, berkata, dia bimbang tentang alahan, malah kanser.

“Ia semakin teruk dan lebih teruk dari tahun ke tahun,” kata Pathsharasakon.

Kata Sunat Insao, 53, peniaga yang menjual jus oren, pencemaran itu memberi kesan kepada perniagaannya.

“Orang tidak datang, mereka tidak dapat melihat pemanda­ngan,” katanya.

Pelancong dari Mexico, Fernanda Gonzalez, 27, berkata, habuk tebal turut dirasakan di mukanya.

“Anda boleh rasa (habuk) di muka anda… saya bersihkan muka saya, saya nampak pad dan saya seperti… ini betul-be­tul kotor,” katanya.

Menangani kemerosotan kualiti udara di utara, Kementerian Kesihatan Thailand menggesa orang ramai untuk menge­lakkan aktiviti luar dan memakai topeng.

Chang Mai, bandar ketiga terbesar di Thailand, mencapai 289 pada indeks kualiti udara (AQI) IQAir pada bulan Mac yang mengukur tahap zarah halus yang boleh disedut di udara.

Pada hari Isnin, tahap pencemaran itu dikatakan berkura­ngan kepada 171, tetapi masih 19 kali ganda melebihi paras yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pihak berkuasa Thailand me­nuding jari pencemaran itu kepada gabungan kebakaran hutan dan pembakaran tanaman di Thailand serta di negara jirannya.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha berkata, minggu lalu, beliau sedang berkoordinasi dengan Laos dan Myanmar untuk mengurangkan titik panas di kawasan sempadan bagi mengekang jerebu rentas sempadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN