JAKARTA: Pegawai di pejabat pelancongan wilayah diarahkan untuk memantau secara langsung keadaan di kawasan pelancongan sepanjang cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Arahan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno dalam `taklimat mingguan bersama Sandi Uno’.
“Jangan hanya duduk di pejabat tetapi turun padang dan pantau keadaan sebenar di kawasan pelancongan,” katanya sepertimana dilaporkan portal Antara.
Sandiaga meminta para pegawai itu melakukan pemantauan dan penilaian di kawasan pelancongan bagi memastikan kesediaan kemudahan, infrastruktur serta tenaga pekerja, selain melaporkan sekiranya ada kekurangan.
Dalam pada itu, pengurus pelancongan juga diminta secara bersama bergerak pantas bagi memastikan kesediaan kawasan pelancongan.
“Mereka diminta memantau kawasan pelancongan bermula dari pintu masuk, parkir kenderaan dan menyemak semula kesediaan kemudahan, keselamatan dan keselesaan.
“Ia termasuk kebersihan kawasan sebahagian pelan pemulihan pelancongan yang mampan,” jelasnya.
Sementara itu, Sandiaga memaklumkan cuti pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka menjana perolehan ekonomi sebanyak AS$6.7 bilion hingga AS$10.05 bilion (RM29.5 bilion hingga RM44.38 bilion).
Malah, katanya, pergerakan orang ramai pada tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu yang mencecah 123.8 juta.