TOKYO: Sebuah mesin layan diri di Jepun menarik perhatian ramai dengan menjual hidangan unik iaitu daging beruang liar pada harga 2,200 yen (RM73.84).
Lapor Sky News, mesin layan diri itu diletakkan berhampiran stesen kereta api Tazawako di Semboku, wilayah Akita pada November tahun lalu.
Daging haiwan itu menjadi popular selepas diperkenalkan restoran tempatan Soba Goro yang mahu menarik minat pelancong yang ingin mencuba sesuatu berbeza berbanding makanan biasa dihidangkan.
Memetik laporan akhbar Mainichi, bekalan daging beruang liar itu diperoleh daripada pemburu tempatan.
Malah, daging beruang itu juga boleh dibeli pada bila-bila masa.
Jelas akhbar itu, terdapat juga permintaan daripada penduduk sekitar Tokyo yang membeli daging beruang itu menerusi pos.
“Kelab pemburu tempatan menangkap haiwan itu di kawasan pergunungan dan kemudian memprosesnya di rumah penyembelihan.
“Ia biasanya dilakukan pada musim memburu beruang,” jelas laporan itu.
Dilaporkan, daging itu kini dijual pada harga 2,200 yen (RM73.84), dengan perkataan tertera `beruang hitam’ dan `daging beruang’ di mesin layan diri itu.
Secara purata, mesin layan diri itu menjual antara 10 hingga 15 pek daging beruang seminggu dan bekalan itu sering kehabisan kerana stok terhad.
Sementara itu, jurucakap restoran Soba Goka berkata, daging beruang itu rasanya empuk dan tidak keras walaupun diletakkan dalam keadaan sejuk.
“Ia boleh dinikmati dalam pelbagai jenis hidangan termasuk rebusan dan stik,” katanya.