BEIJING: Gara-gara tabiat gemar memakai fon telinga (earphone) ketika sedang tidur, seorang lelaki di China tertelan alat itu tanpa disedari.
Lapor Daily Star, lelaki dikenali sebagai Xiaoyong berkata, dia menyedari salah satu fon telinga tanpa wayar itu hilang selepas bangun dari tidur kira-kira pukul 3 pagi ketika mahu ke tandas.
Xiaoyong memainkan muzik disambungkan ke fon telinga bagi mencari alat yang hilang itu, namun dia terkejut apabila terdengar muzik dimainkan itu datangnya dari dalam badannya.
Dia mengesyaki tertelan fon telinga tanpa wayar itu ketika sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, dia bergegas ke hospital kira-kira pukul 4 pagi dan ujian imbasan X-ray menunjukkan fon telinga itu berada di dalam perutnya.
Beberapa imej imbasan X-ray menunjukkan peranti kecil itu berada dalam usus Xiaoyong.
Ketika menunggu di hospital, Xiaoyong berkongsi kisah peliknya dalam media sosial, malah turut memainkan muzik menerusi fon telinga kepada pengikutnya.
Sementara itu, Xiaoyong berkata, doktor memberinya beberapa jenis ubat bagi membolehkannya membersihkan ususnya.
Katanya, sekiranya ia tidak berkesan, maka dia perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan fon telinga tersebut daripada ususnya.