LISBON: Beribu-ribu penduduk turun ke jalanan di Lisbon dan beberapa bandar lain di seluruh Portugal bagi membantah kenaikan kadar sewa dan harga rumah di negara itu.
Situasi itu berlaku ketika negara itu berdepan inflasi yang tinggi sehingga menyebabkan kos sara hidup penduduk melambung tinggi.
Seorang ahli kumpulan perumahan Habita, Rita Silva mengakui negara itu ketika ini mengalami krisis perumahan yang besar.
“Perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan ia merupakan isu kecemasan sosial,” katanya.
Protes itu dianjurkan oleh pergerakan `Home to Live’ bersama beberapa kumpulan lain.
Pada protes itu, seorang pereka ilustrasi, Diogo Guerra, 35 mengakui hampir setiap hari dia mendengar mengenai penduduk bergelut untuk mendapatkan tempat tinggal.
“Ada penduduk dihalau keluar kerana rumah dihuni mereka dijadikan kemudahan jangka pendek untuk pelancong,” katanya.
Portugal adalah antara negara paling miskin di Eropah Barat, dengan data kerajaan menunjukkan lebih 50 peratus pekerja memperoleh pendapatan kurang daripada 1,000 euro (RM4,795) sebulan pada tahun lalu.
Dilaporkan, gaji minimum bulanan bagi pekerja adalah 760 euro (RM3,644).
Data dari syarikat penilai hartanah, Confidencial Imobiliario menunjukkan kadar sewa di Lisbon yang merupakan kawasan tumpuan pelancong, melonjak sebanyak 65 peratus sejak tahun 2015 manakala harga jualan rumah juga meningkat sebanyak 137 peratus dalam tempoh itu.
Berdasarkan perangkaan syarikat hartanah Casafari, pada tahun lalu sahaja kadar sewa meningkat sebanyak 37 peratus, lebih tinggi berbanding di Barcelona atau Paris.
Keadaan itu sememangnya membebankan lagi penduduk terutamanya bagi golongan muda.
Kajian dilakukan oleh portal perumahan, Imovirtual menunjukkan purata sewa bagi pangsapuri sebuah bilik tidur di Lisbon adalah sekitar 1,350 euro (RM6,473).
Bulan lalu, kerajaan Parti Sosialis mengumumkan pakej perumahan yang antara lain menamatkan skim ‘Golden Visa’ dan melarang pengeluaran lesen baharu untuk hartanah Airbnb.
Bagaimanapun, pengkritik menegaskan langkah itu masih tidak mencukupi untuk menurunkan harga perumahan dalam jangka masa pendek.
Sementara itu, kajian dijalankan oleh broker insurans, CIA Landlords mendedahkan gaji rendah dan sewa yang tinggi menjadikan Lisbon sebagai bandar ketiga paling tidak berdaya maju di dunia untuk didiami.
Kadar inflasi semasa Portugal iaitu sebanyak 8.2 peratus turut memburukkan lagi masalah tersebut.
“Dengan gaji saya yang lebih tinggi berbanding gaji purata di Lisbon, saya tidak mampu menyewa sebuah unit pangsapuri kerana ia terlalu mahal,” kata eksekutif jualan, Nuncio Renzi yang tinggal di ibu negara. – REUTERS










