Indonesia komited lindungi tenaga kerja di luar negara

Indonesia komited lindungi tenaga kerja di luar negara

MA'RUF Amin memberi ucapan pada secara maya pada Majlis Berbuka Puasa Kumpulan Pekerja Migran Indonesia dan Diaspora Indonesia di Singapura kelmarin.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Timbalan Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin menegaskan, kerajaan komited memberikan perlindungan dan jaminan pekerjaan bagi tenaga kerjanya di luar negara seperti yang digariskan dalam Undang-undang Tahun 2007 tentang Perlindungan Pekerja Migran Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada Majlis Berbuka Puasa Kumpulan Pekerja Migran Indonesia dan Diaspora Indonesia di Singapura bersama 12 negara lain.

“Kerajaan akan terus mengekalkan komitmennya terhadap dasar melindungi pekerja migran dan terus menambah baik pengurusan sektor pekerjaan.

“Selaras dengan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka, kerajaan terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan dan perlindungan yang lebih baik untuk warga Indonesia di luar negara,” katanya dipetik Antara News.

Jelas Ma’ruf, beliau menyedari persaingan sengit dalam pasaran global menyebabkan hanya pekerja yang mempunyai daya saing tinggi lebih mudah diserap ke dalam pasaran kerja.

Justeru, beliau berharap pekerja asing Indonesia dapat terus meningkatkan kemahiran mereka dengan memperoleh pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Semoga peningkatan daya saing pekerja kita dapat menggalakkan pertumbuhan pekerja asing di sektor formal,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ma’ruf turut menasihatkan pekerja asing Indonesia di luar negara supaya menyesuaikan diri dengan setiap syarat yang ditetapkan dan mematuhi peraturan di mana sahaja mereka berada serta terus menjaga nama baik Indonesia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada diaspora Indonesia di Singapura yang banyak menyumbang kepada pembangunan sumber negara.

Dalam majlis tersebut, Duta Besar Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo hadir menyampaikan penghargaan kepada pekerja asing Indonesia di Singapura yang memberikan sumbangan besar mereka kepada kemajuan Indonesia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN