HANOI: Empat orang disahkan maut manakala seorang lagi masih hilang apabila sebuah helikopter terhempas berhampiran Teluk Halong di Vietnam.
Memetik laporan media tempatan VnExpress, ketika kejadian, helikopter itu dinaiki oleh seorang juruterbang dan empat pelancong warga Vietnam.
Dilaporkan, helikopter itu terputus hubungan kira-kira lima minit selepas berlepas ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).
“Mayat juruterbang ditemukan malam tadi kira-kira pukul 11 malam,” jelas laporan media.
Pasukan penyelamat menemukan sebahagian bangkai helikopter Bell 505 pada pagi tadi dengan mayat seorang mangsa di dalamnya.
Dua lagi mayat mangsa ditemukan berhampiran Teluk Halong, lapor VnExpress tanpa memperincikan butiran lanjut.
“Pasukan mencari dan menyelamat masih mencari mayat kelima dan bahagian bangkai helikopter itu,” jelasnya. – AFP