China kini kesempitan wang, rakyat protes pemotongan faedah

China kini kesempitan wang, rakyat protes pemotongan faedah perubatan

RIBUAN warga emas China sertai protes dasar baharu faedah perubatan yang dipotong kerajaan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Kerajaan China mencetuskan kemarahan rakyat apabila dilaporkan mengalami kekurangan wang tunai selepas bertahun-tahun menguatkuasakan dasar Sifar Covid-19 dan membuat pembaharuan dasar iaitu memotong faedah perubatan rakyat dan merancang untuk meningkatkan umur persaraan.

Lapor CNN, langkah itu dikatakan sangat tidak popular dan hanya membangkitkan kemarahan ramai.

Setakat ini, tidak jelas berapa banyak wang yang dibelanjakan oleh China untuk mengekalkan dasar Sifar Covid-19 yang sangat ketat atau dari mana wang itu datang.

Tetapi, sekurang-kurangnya 17 daripada 31 wilayah di negara itu mendedahkan jumlah besar dibelanjakan untuk memerangi wabak tersebut.

PERBELANJAAN TERBESAR
Guangdong, wilayah terkaya di China dilaporkan membuat perbelanjaan terbesar.

Ia membelanjakan 711 bi­lion Yuan (AS$10.3 bilion atau RM45.5 bilion) pada 2022 untuk langkah-langkah seperti vaksinasi, ujian dan faedah kecemasan untuk pekerja perubatan iaitu peningkatan lebih daripada 50 peratus daripada tahun sebelumnya.

Zhejiang dan Beijing pula membelanjakan 43.5 bilion Yuan (RM6.62 bilion) dan 30 bi­lion Yuan (RM19.3 bilion) ma­sing-masing.

Pakar di Pusat China di Universiti Oxford, George Magnus berkata, kerajaan tempatan kini kekurangan wang atau dalam beberapa kes, kehabisan wang.

“Membiayai Sifar Covid-19 adalah punca paling hampir untuk masalah itu, tetapi kewangan tempatan merosot atas sebab lain juga terutamanya peningkatan beban perbelanjaan yang berkaitan dengan perbelanjaan berkaitan usia.

“Kos faedah atas hutang bertrilion dolar dan kejatuhan hasil daripada penjualan tanah juga memburukkan kewangan kerajaan, katanya.

HUTANG TERSEMBUNYI
Dalam pada itu, menurut penganalisis China, hutang kerajaan China yang tertunggak mungkin melepasi 123 trilion Yuan (AS$18 trilion atau RM57.4 trilion) tahun lepas yang mana hampir AS$10 trilion (RM44.12 trilion) dipanggil sebagai hutang tersembunyi.

Masalah hutang menjadi sa­ngat melampau sehingga beberapa bandar tidak dapat menyediakan perkhidmatan asas seperti memanaskan rumah rakyat sewaktu musim sejuk.

Beribu-ribu warga emas dilaporkan mengadakan protes sejak Januari lalu kerana membantah pemotongan besar pembayaran faedah perubatan bulanan mereka.

Mereka berkumpul di empat bandar utama di seluruh negara, menuntut kerajaan atau pegawai tempatan menarik balik keputusan pembaharuan itu.

Perubahan yang dilakukan kerajaan China itu adalah sebahagian daripada baik pulih nasional yang bertujuan untuk menampung defisit dalam dana insurans perubatan awam, me­nurut penganalisis.

Penganalisis juga berkata, peruntukan wang dihabiskan selepas membayar ujian besar-besaran Covid-19, kuarantin mandatori dan kawalan wabak lain sejak tiga tahun lalu.

PERGERAKAN RAMBUT KELABU
Demonstrasi rakyat yang digelar oleh media China sebagai ‘pergerakan rambut kelabu’ adalah satu lagi teguran rakyat yang jarang berlaku untuk pihak berkuasa selepas protes meluas mencengkam negara itu pada November tahun lalu berikutan sekatan pergerakan Covid-19.

Kemarahan itu boleh menjejaskan lagi kepercayaan terhadap Parti Komunis yang dianggap rosak berikutan sekatan pergerakan Covid-19, skandal perbankan dan krisis hartanah.

Felo kanan di Yayasan Pertahanan Demokrasi yang berpangkalan di Washington, Craig Sing­leton berkata, bandar-bandar China kini sedang bergelut untuk membayar bil mereka kerana hutang tersembunyi melambung tinggi.

“Pesara melihat pembaharuan ini sebagai janji parti yang mungkir, memberi kesan terhadap kualiti hidup mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya