MASSACHUSETTS: Seorang ibu yang membiarkan anak perempuannya berusia lima tahun bermain dengan telefon bimbitnya semasa menaiki kereta terkejut apabila mendapati kanak-kanak itu menempah motosikal bersaiz kanak-kanak dan but perempuan koboi bernilai hampir AS$4,000 (RM17,597.22) di Amazon.
Menurut UPI, Jessica Nunes dari Westport berkata, dia menyangka anak perempuannya, Lila hanya bermain permainan di telefonnya semasa memandu pulang baru-baru ini, tetapi dia kemudian mendapati gadis itu membeli-belah di Amazon.
Nunes mendapati Lila membelanjakan AS$3,922 (RM17,252.99) untuk membeli barangan termasuk lima basikal berwarna merah jambu bersaiz kanak-kanak, lima basikal biru (saiz kanak-kanak), 10 pasang but perempuan koboi saiz tujuh untuk wanita dan sebuah Jeep bersaiz kanak-kanak berkuasa bateri.
Nunes berkata, dia bagaimanapun dapat membatalkan tempahan but dan separuh daripada basikal, tetapi baki tempahan seperti motosikal dan Jeep tetap tiba di rumahnya.
Dia tidak tahu bagaimana Lila berjaya menemukan barangan-barangan tersebut di Amazon, tetapi anak perempuannya itu sudah dibelikan motosikal mainan, sehari sebelum membuat pesanan.
“Ada seorang budak lelaki yang lebih tua membeli basikal berkenaan dan Lila sangat sedih kerana dia terlalu muda untuk menunggangnya.
“Saya tidak tahu bagaimana dia menemui item yang tepat ini,” kata Nunes kepada today.com.