Buah pala Indonesia dicemari aflatoksin - Utusan Malaysia

Buah pala Indonesia dicemari aflatoksin

ANGGOTA Badan Kuarantin Pertanian memeriksa kualiti buah pala di sebuah kilang di Maluku.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMBON:  Agensi Kuarantin Pertanian mendapati kandungan aflatoksin dalam buah pala dari Indonesia melebihi had yang ditetapkan sekali gus menjadi punca Kesatuan Eropah (EU) menolak eksport buah berkenaan dari negara ini.

Penganalisis Kuarantin Tumbuhan, Antarjo Dikin mendedahkan perkara itu dalam mesyuarat teknikal mengenai pengurangan pencemaran aflatoksin yang diadakan secara dalam talian semalam.

Menurut Antarjo, aflatoksin adalah sebatian organik yang terhasil daripada metabolisme sekunder kulat Aspergillus sp, yang boleh meracuni manusia atau haiwan.

Jelasnya, perkara tersebut berlaku disebabkan kebanyakan buah pala Indonesia berasal dari ladang tradisional yang masih kurang menitik beratkan tahap kualiti dan mutunya.

“Kemungkinan besar pencemaran kulat dan ketidaksesuaian produk juga dilihat cukup tinggi,” katanya. 

Berdasarkan data daripada Sistem Amaran Cepat Indonesia untuk Makanan (INRASFF), buah pala di negara itu menerima 95 peratus Pemberitahuan Ketidakpatuhan (NNC) daripada negara-negara EU.

Justeru, Antarjo berkata, tindakan susulan untuk menghasilkan eksport buah pala yang bebas daripada pencemaran aflatoksin sedang giat dijalankan termasuk memastikan buah tersebut tidak menyentuh tanah semasa menuai selain menjalankan proses pengeringan di dalam ketuhar.

“Buah pala juga perlu dibungkus dalam gel silika atau  pembungkusan kedap udara dan wajib mengekalkan kebersihan bekas. 

“Oleh itu, penyelarasan antara beberapa agensi melibatkan perkhidmatan perladangan, pengeksport, laporan pemantauan pembangunan dan klinik eksport amat diperlukan agar buah yang dihasilkan menepati syarat yang ditetapkan,” jelasnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN