JAKARTA: Pemerhati Budaya dan Komunikasi Digital Universiti Indonesia (UI) menasihatkan penduduk di negara itu supaya lebih peka dengan kod QR palsu yang menjadikan masjid sebagai modus operandi mendapatkan wang derma secara haram.
Firman Kurniawan turut meminta orang ramai supaya tidak tergesa-gesa melakukan transaksi sebelum mengesahkan destinasi yang ditunjukkan pada kod tersebut terlebih dahulu bagi mengelak kerugian.
“Berwaspada dan jangan tergesa-gesa adalah petua bagi mengelak tersilap memindahkan wang ke akaun tertentu. Malah, alamat destinasi pemindahan dana perlu diperiksa dengan jelas sama ada syarikat, yayasan, atau atas nama peribadi,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan terus membantu masyarakat berhubung literasi digital dalam rangka menuju ke arah masyarakat tanpa tunai.
“Selain mendidik orang ramai, semua pihak berkepentingan juga diharap dapat memperkasakan bahagian keselamatan agar tiada jurang untuk penjenayah siber mengambil kesempatan secara haram,” jelasnya.
Minggu lalu, tular di media sosial video yang merakamkan seorang lelaki menukar kod QR pada kotak amal di sebuah masjid di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.
Polis Metro Jaya berjaya membongkar kes penipuan tersebut dan berjaya menahan suspek yang didapati turut menukar pelekat stiker alat pembayaran Quick Response Code Indonesian Standard (QRIS) di 38 lokasi di sekitar Jakarta.
Akibatnya, orang ramai yang mahu menderma memindahkan wang ke dalam akaun tanpa menyedari wang itu dipindahkan ke akaun suspek yang juga merupakan bekas pegawai bank.
Pengarah Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Auliansyah Lubis berkata, dana yang dikumpul dalam permohonan bantuan membaiki masjid yang dikawal suspek adalah sebanyak 44 transaksi dengan jumlah keseluruhan melebihi 13 juta rupiah (RM3,870).-AGENSI