YOGYAKARTA: Destinasi pelancongan Air Terjun Kedung Kandang di Gunungkidul yang terletak di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) kini hanya tinggal kenangan.
Kawasan air terjun itu dilaporkan terjejas berikutan impak projek pembangunan jalan alternatif Gunungkidul-Sleman.
Perkara itu didedahkan Ketua Kampung Pelancongan Nglanggeran, Mursidi ketika dihubungi Kompas.com kelmarin.
Mursidi berkata, maklumat dan capaian berhubung pembinaan jalan alternatif itu mendapati proses pembinaan akan merentasi air terjun berkenaan.
“Saya tidak mengetahui secara teknikal tetapi berdasarkan informasi yang diterima, semasa proses pembinaan jambatan itu, semua air terjun di kawasan itu mengalami kerosakan,” katanya.
Mursyidi menjelaskan, air terjun Kedung Kandang merupakan air terjun bermusim, yang akan kelihatan cantik apabila memasuki musim hujan.
Namun, pada musim kemarau pengunjung boleh menyaksikan keindahan alam semula jadinya iaitu hamparan sawah berteres.
“Walaupun bermusim, terdapat padi teres kecil. Pada musim kemarau, ia masih wujud dan ramai pelancong terutama dari luar negara sangat menyukai pemandangan alam ini,” tambahnya.
Buat sementara waktu, pihak pengurus terpaksa menyahaktifkan kawasan air terjun tersebut daripada senarai destinasi pelancongan Nglanggeran dan sedang menunggu hasil pembinaan jambatan tersebut.
Mursidi berharap jambatan itu akan kelihatan menarik agar boleh menjadi tarikan baharu dengan hasil kerja yang lebih kemas.
“Harapannya, jalan baharu itu menjadi sebahagian daripada laluan perhubungan yang menghala ke Gunungkidul. Semoga akses ke Nglanggeran dipermudahkan, termasuk ke Gunungkidul,” tambahnya.