MANILA: Sekurang-kurangnya 72 maut akibat lemas di Filipina sejak awal bulan ini sekali gus menunjukkan satu angka luar biasa di negara berkenaan.
Jurucakap Polis Negara Filipina (PNP), Kolonel Jean Fajardo berkata, jumlah korban yang tinggi itu sebahagiannya disebabkan oleh percutian ‘balas dendam’ selepas negara itu melalui sekatan pergerakan selama bertahun-tahun untuk membendung Covid-19.
“Orang ramai agak teruja untuk pergi ke pantai dan pusat peranginan,” kata Fajardo kepada AFP.
Fajardo berkata, mangsa termasuk kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan penjaga ketika berenang serta orang yang berjalan-jalan di pantai ketika mabuk.
Fajardo menyifatkan angka kematian itu sebagai luar biasa dan lebih tinggi daripada tahun-tahun lalu.
“Pusat peranginan dan pantai penuh sesak. Ini juga menyumbang kepada jumlah kejadian lemas,” tambahnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lemas adalah punca ketiga kematian tidak disengajakan di seluruh dunia dengan anggaran 236,000 kematian setiap tahun.