JAKARTA: Kementerian Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan Indonesia menggesa semua pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan usaha-usaha mitigasi terhadap banjir dan tanah runtuh di negara itu.
Timbalan penyelarasan pembangunan wilayah dan mitigasi bencana di bawah kementerian, Sudirman berkata, gesaan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan intensiti hujan yang berlaku di negara itu.
“Jadi, mitigasi menjadi langkah penting untuk mengurangkan risiko banjir dan tanah runtuh.
“Malah, ia turut menjadi kebimbangan kita bersama,” katanya sepertimana dilaporkan portal Antara.
Jelas beliau, wujudnya kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya bencana hidrometeorologi termasuk banjir dan tanah runtuh susulan peningkatan intensiti hujan.
Menurutnya, bencana hidrometeorologi berpunca daripada dinamik air termasuk taburan hujan yang tinggi.
Katanya, bencana termasuk banjir, tanah runtuh, taufan dan lain-lain lagi boleh disebabkan oleh perubahan musim.
“Justeru, fenomena intensiti hujan dan cuaca ekstrem yang berlaku akhir ini perlu ditangani dengan usaha mitigasi.
“Kita juga perlu meningkatkan kesiapsiagaan semua pihak berkepentingan termasuk penduduk,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai juga perlu dididik mengenai cara menghadapi bencana dan langkah-langkah mitigasi.