Penyeludupan gagak untuk ritual digagalkan - Utusan Malaysia

Penyeludupan gagak untuk ritual digagalkan

POLIS menggagalkan peyeludupan 51 burung gagak di Pelabuhan Tanjung Perak.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURABAYA: Polis Pelabuhan Tanjung Perak di Jawa Timur menggagalkan penyeludupan 51 burung gagak hitam yang akan digunakan dalam amalan ritual mistik.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pelabuhan Tanjung Perak, AKP Arief Ryzki Wicaksana berkata, penyeludupan itu terbongkar ketika suspek dikenali sebagai Supriadi transit di Pelabuhan Tanjung Perak di Surabaya dari Makassar

“Gagak hitam itu akan dikirim ke Solo, Jawa Tengah. Namun kerana tidak dilengkapi dokumen rasmi, akhirnya lelaki yang bertugas sebagai kurier itu ditahan,” kata Arief kepada CNN Indonesia.

Arief menegaskan tindakan itu adalah perbuatan jenayah kerana suspek tidak mempunyai permit dan mengaku sudah empat kali melakukannya untuk tujuan ritual dan aktiviti paranormal di beberapa lokasi.

Jelasnya, burung gagak hitam yang dirampas itu diserahkan kepada pusat kuarantin sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

“Gagak yang kami tangkap dilepaskan ke habitat asalnya di Makassar tetapi 18 ekor daripada sejumlah burung yang dirampas itu sudah mati,” katanya.

Ketua Koordinator Kuarantin Haiwan Tanjung Perak, Santoso berkata, burung gagak itu mati kerana bekas yang digunakan suspek tidak sesuai.

“Suspek menggunakan bekas buah-buahan, tiada dokumen dan sijil kesihatan haiwan sama sekali,” kata Santoso.

Akibat perbuatannya itu, Supriadi didakwa di bawah undang-undang tentang pemindahan haiwan dan tumbuhan yang membawa hukuman dua tahun penjara jika disabit kesalahan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya