WASHINGTON: Satu laporan perisikan yang disemak pegawai Amerika Syarikat (AS) mendapati kumpulan pro-Ukraine merupakan dalang di sebalik serangan saluran paip gas Nord Stream pada September tahun lalu.
Namun, Ukraine menafikan sebarang penglibatan dalam letupan saluran paip gas yang membekalkan bahan api dari Russia ke Jerman itu.
Lapor BBC, penasihat kepada Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak menegaskan negaranya `tidak terlibat sama sekali’ dalam serangan terhadap saluran paip berkenaan.
“Ia sedikit pun tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, New York Times melaporkan pegawai AS memperoleh maklumat perisikan baharu yang menunjukkan kumpulan pro-Ukraine bertanggungjawab melakukan serangan ke atas saluran paip gas Nord Stream.
Laporan itu bagaimanapun menyatakan, tiada bukti bahawa Presiden Volodymyr Zelensky atau pembantu tertingginya terlibat dalam operasi itu.
Malah, akhbar itu juga melaporkan pegawai enggan mendedahkan maklumat perisikan tersebut, bagaimana ia diperoleh atau `sebarang perincian bukti yang terkandung di dalamnya’.
Mengulas mengenai laporan akhbar itu, Podolyak memaklumkan Ukraine tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai apa yang berlaku.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menyifatkan laporan berkaitan serangan itu adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana AS boleh membuat andaian demikian tanpa melakukan siasatan.
“Sudah tentu, pihak yang mengeluarkan laporan serangan itu hanya mahu mengalihkan perhatian,” katanya kepada agensi berita Ria-Novosti.
Setakat ini, punca sebenar letupan saluran paip Nord Stream masih belum diketahui.
Dilaporkan, letupan bawah laut pada saluran paip antara Rusia dan Jerman berlaku di zon ekonomi eksklusif Sweden dan Denmark di Laut Baltik.
Kedua-dua negara membuat kesimpulan letupan itu disengajakan, tetapi tidak menyatakan pihak mana yang bertanggungjawab.
AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggelar serangan pada September itu sebagai `tindakan sabotaj’ manakala Russia pula menyalahkan Barat dan menggesa siasatan bebas dijalankan.










