JAKARTA: Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) sedang menyiasat pemilikan saham 134 kakitangan Direktorat Jenderal Percukaian Kementerian Kewangan Indonesia dalam 280 syarikat.
Perkara itu disampaikan Timbalan Pencegahan dan Pemantauan KPK, Pahala Nainggolan dalam perkembangan penjelasan Laporan Kekayaan Pentadbiran Negara (LHKPN) di Gedung Merah Putih KPK kelmarin.
“Dicatatkan bahawa 134 pegawai cukai itu sebenarnya memiliki saham dalam 280 syarikat. Khusus untuk data ini, kita sedang menyiasat 280 syarikat ini yang berisiko jika syarikat itu adalah perunding cukai.
“Pekerjaan mereka pegawai cukai tetapi mereka mempunyai saham dalam firma perunding cukai. Itulah yang kami terokai kerana ia berpotensi membawa kepada penyalahgunaan kuasa,” kata Pahala.
Jelas beliau, jenis syarikat agak pelbagai dan pemilikan saham majoritinya didaftarkan atas nama isteri-isteri pegawai berkenaan.
“Dengan pemilikan ini, pilihan terbuka untuk menyatakan jika ada yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk menerima sesuatu daripada pembayar cukai,” katanya.
Justeru, Pahala menegaskan pihaknya akan menyampaikan penemuan itu kepada Kementerian Kewangan dan juga meneliti profil serta kekayaan pegawai cukai berkaitan.
Lapor CNN Indonesia, kakitangan Direktorat Jenderal Percukaian menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini selepas kisah kekayaan besar salah seorang pegawai cukai, Rafael Alun Trisambodo yang mencecah 56 bilion rupiah (RM16.4 juta) mendapat liputan media.
KPK telah meminta penjelasan Rafael berhubung kekayaannya yang tidak sepadan dengan jawatan disandang dan puluhan akaun banknya dilaporkan sudah disekat.-AGENSI