Korea Utara uji dron nuklear dalam air - Utusan Malaysia

Korea Utara uji dron nuklear dalam air

GAMBAR diedarkan KCNA menunjukkan ujian dron nuklear dalam air di Laut Timur.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Utara mendakwa menguji dron serangan nuklear dalam air yang mampu melancarkan tsunami radioaktif dan memusnahkan kapal serta pelabuhan tentera laut musuh.

Ujian tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap latihan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan baru-baru ini yang disifatkan menggugat keselamatan serantau.

Menurut agensi berita KCNA, sepanjang latihan bermula Selasa lalu, tentera Korea Utara menguji sistem senjata baharu dengan misi mencetuskan gelombang pemusnah berskala besar.

“Dron serangan bawah air nuklear ini boleh digunakan di mana-mana pantai dan pelabuhan atau ditarik oleh kapal untuk operasi.

“Senjata rahsia ini dimasukkan ke dalam air di wilayah Hamgyon Selatan pada Selasa lalu dan semalam ia meletupkan kepala peledak ujian,” kata agensi itu.

Dron berkenaan dilaporkan sudah berlayar selama 59 jam dan 12 minit pada kedalaman 80 hingga 150 meter.

Suruhanjaya Tentera Pusat Parti Pekerja Korea Utara menyifatkan latihan itu sebagai amaran kepada musuh mengenai kemungkinan krisis nuklear sebenar dan mengesahkan kebolehpercayaan pasukan nuklear untuk mempertahankan diri.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang mengetuai latihan itu berkata, ujian tersebut harus menjadi amaran kepada AS dan Korea Selatan untuk menyedari keupayaan tidak terhad Korea Utara menyelaras serangan nuklear dengan pantas.

Selepas setahun rekod ujian senjata dan ancaman nuklear yang semakin meningkat dari Pyongyang, Seoul dan Washington turut meningkatkan kerjasama keselamatan dengan memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka dalam tempoh lima tahun.

Pelancaran latihan Freedom Shield dilakukan pada 13 Mac lalu, kira-kira seminggu selepas Pyongyang menguji peluru berpandu terbesar dan paling berkuasa, Hwasong-17 dan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) kedua tahun ini.

Korea Utara mengisytiharkan dirinya tidak akan berundur daripada matlamat menjadi kuasa nuklear dan Jong-un baru-baru ini meminta peningkatan ketara dalam pengeluaran senjata, termasuk senjata nuklear taktikal.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya