Kanak-kanak 12 tahun dinikahkan gara-gara berdua-duaan di kebun - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 12 tahun dinikahkan gara-gara berdua-duaan di kebun

PERNIKAHAN kanak-kanak bawah umur di Sulawesi Selatan tular di media sosial baru-baru ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kisah kanak-kanak bawah umur di Desa Kayu Loe di Sulawesi Selatan yang dikahwinkan ibu bapa mereka gara-gara dilihat berdua-duaan di kawasan kebun tular di media sosial baru-baru ini.

Unit Pelaksanaan Teknikal Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak, Meisy Papayungan berkata, pasukannya pergi ke kampung tersebut di daerah Bantaeng untuk menyiasat kes berkenaan.

“Pasukan kami telah pergi ke lokasi berkenaan. Pasangan itu didapati berdua-duaan di kebun. Entah apa mereka lakukan.

“Pernikahan tersebut dilaksanakan pihak keluarga dengan mengadakan satu majlis kenduri. Pengantin lelaki itu baru berusia 12 tahun begitu juga dengan pengantin perempuan yang masih terlalu muda,” katanya. 

Meisy berkata, hasil semakan mendapati tiada seorang pun pegawai kampung yang mengetahui mengenai perkahwinan terbabit.

Namun berdasarkan maklumat yang diterima, kebanyakan penduduk setempat gemar mengambil tindakan sedemikian hanya kerana ingin menyelesaikan masalah terbabit.

Meisy mengakui kecewa dengan sikap ibu bapa kanak-kanak itu yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan mengambil jalan mudah menikahkan anak-anak mereka tanpa memikirkan masalah yang bakal dihadapi kelak.   

“Sekiranya anak ini hamil dan bersalin, status perkahwinan mereka tidak direkodkan di negeri ini. Apabila bayi itu dilahirkan, dia mungkin tak ada sijil kelahiran kerana ibu bapanya tidak mempunyai buku nikah.

“Jika anak-anak remaja dilihat berdua-duaan, ibu-bapa sepatutnya melarang perkara itu dan memberi didikan dan bukan diselesaikan dengan berkahwin,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN