Indonesia beri insentif lumayan tukar motosikal kepada kuasa

Indonesia beri insentif lumayan tukar motosikal kepada kuasa elektrik

INDONESIA menyasarkan penggunaan 13 juta motosikal elektrik dan dua juta kenderaan empat roda EV menjelang 2030.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menyediakan insentif tunai berjumlah tujuh juta rupiah (RM2,042) kepada rakyatnya yang ingin menukar motosikal mereka kepada yang berkuasa elektrik mulai 20 Mac ini.

Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan Industri, Luhut Pandjaitan berkata, insentif itu diberikan untuk pembelian motosikal baharu atau pengubahsuaian enjin pembakaran kepada kuasa elektrik.

Namun katanya, sekurang-kurangnya 40 peratus komponen kedua-dua jenis motosikal itu harus buatan tempatan.

Pengilang juga tidak dibenarkan menaikkan harga semasa tempoh pemberian insentif itu yang akan berjalan hingga hujung tahun ini.

Jelas Luhut, pemerintah Indonesia juga akan memberikan insentif bagi pembelian 35,900 buah kenderaan elektrik (EV) baharu beroda empat sehingga hujung tahun ini.

“Lain-lain negara termasuk negara jiran kita sudah mula menggerakkan langkah bagi penggunaan kenderaan elektrik dengan menawarkan pelbagai insentif. Justeru, Indonesia perlu melakukan sesuatu agar setara, malah lebih dari itu untuk menarik pengeluar EV.

“Kami sedang berunding dengan dua pelabur besar yang berhasrat untuk masuk ke Indonesia. Mereka ingin melihat sama ada Indonesia turut menawarkan insentif yang sama seperti negara-negara lain,” katanya.

Indonesia yang merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara membuka pintu kepada penggunaan EV dan cuba menarik pengeluar global dengan memperkenalkan beberapa langkah untuk menarik pelaburan termasuk menawarkan pengecualian cukai selama 20 tahun.

Pemerintah Indonesia juga sedang berusaha menarik pengeluar EV dan tenaga terbesar, Tesla supaya melabur dalam pengeluaran bateri dan kereta di negara itu yang mempunyai satu perempat daripada rizab nikel sedunia, iaitu bahan mentah utama bagi pembuatan bateri EV.

Menurut Luhut, Indonesia menyasarkan mempunyai 13 juta motosikal elektrik dan dua juta kenderaan empat roda EV menjelang 2030.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN